Slider

Anak tikam ibu sampai mati selepas terdengar bisikan suara dakwa ibunya menyembah berhala



Seorang pesara wanita warga emas maut ditikam di bahagian leher oleh anak lelakinya dalam kejadian di kediaman keluarga itu di Paya Luboh, Melaka hari ini. 


Dalam kejadian yang berlaku pada jam 3 petang itu, mangsa, Rozizah Md Dom, 63, ditemui oleh anak perempuannya dalam keadaan berlumuran darah. 


Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 38 tahun dipercayai bertindak membunuh mangsa menggunakan sebilah pisau sebelum ditahan oleh orang kampung. 


Siasatan awal mendapati, suspek mengaku terdengar bisikan suara yang mengatakan ibunya menyembah berhala menyebabkan dia berang lalu menikam leher ibunya sehingga mati. 


"Siasatan pasukan forensik mendapati, ada dua kesan tikaman di kanan dan kiri leher mangsa. Ketika ditanya, suspek mengaku menikam mangsa setelah mendengar satu bisikan yang menyuruhnya menikam mangsa kerana menyembah berhala. 


"Atas sebab itu, suspek masuk ke dalam bilik lalu menikam leher mangsa," katanya. 


Semasa kejadian itu berlaku, terdapat tiga penghuni di rumah tersebut termasuk mangsa. Sebelum ini, mangsa hanya tinggal berdua dengan suspek yang berstatus duda. 


Sebelum kejadian itu berlaku, mangsa baru selesai mandi ketika ditikam dan suspek didakwa sempat memberi pisau sayur sepanjang 26 sentimeter kepada mangsa yang  kemudian didakwa dibuang ke belakang rumah melalui tingkap. 


Polis menemui senjata yang digunakan suspek dalam kejadian itu dan ketika ditahan, suspek berada dalam keadaan normal. 


Semakan mendapati, suspek, anak sulung daripada lima beradik pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Melaka sejak empat tahun lalu dan mempunyai dua rekod kesalahan berkaitan dadah. 


Suspek akan menjalani ujian saringan air kencing dan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 


Sementara itu, seorang jiran mangsa, Jamaliah Md. Jamil berkata, dia terkejut mendengar jeritan anak mangsa ketika dia berada di hadapan kedai runcitnya yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah mangsa. 


Dia bergegas berlari ke rumah jirannya dan dalam masa sama meminta salah seorang penduduk kampung memanjat masuk ke dalam perkarangan rumah itu. 


"Disebabkan saya tidak berani, saya hanya menunggu di luar rumah sebelum diberitahu bahawa jiran saya itu telah meninggal dunia, dibunuh oleh anak sulungnya. 


"Ketika ditangkap empat penduduk kampung, suspek tidak melawan dan hanya menunggu polis tiba. Saya tidak pasti sama ada ketika itu dia sedang berkhayal atau tidak, tetapi penduduk kampung memang tahu dia ada ambil barang (dadah)," katanya. 


Jamaliah berkata, dia sama sekali tidak menyangka jirannya yang juga pesara guru itu dibunuh, tambahan pula warga emas itu baru sahaja kematian suami bulan lalu. Katanya, anak mangsa yang dipercayai melakukan pembunuhan ini sebelum ini juga tidak pernah mengamuk.


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo