Slider

'Bahas isu tuntutan waris Kesultanan Sulu boleh dedah strategi perundangan negara kepada pihak musuh' - Speaker

Foto The Star



18 Julai lalu, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah cuba membawa usul membahas tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah membabitkan rampasan dua aset milik Petronas di Azerbaijan, di Dewan Rakyat. 


Percubaan membawa usul itu ditolak sebanyak tiga kali oleh Speaker Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun menyebabkan dewan mula kecoh dengan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan Azhar. 


Hari ini, Azhar sekali lagi menolak usul tersebut daripada dibahaskan oleh Ahli Parlimen dengan alasan perbahasan itu boleh menyebabkan strategi pasukan perundangan kerajaan terdedah kepada pihak musuh. 


"Mahukah kita bincang dan sedang ketika perbincangan itu berjalan, kita tak tahulah apa yang akan dikatakan. Maka terserlahlah strategi kerajaan untuk buat itu dan ini, (kemudian) akan ada kritikan terhadap tindakan kerajaan. 


"Kemudian pihak yang satu lagi (di luar negara) boleh membacanya. Apakah itu tidak akan merosakkan kepentingan kerajaan dalam prosiding litigasi tersebut? Mahukah kita tunjuk strategi kita kepada dunia?" katanya. 


Jelas Azhar lagi, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan strategi negara tidak didedahkan kepada pihak luar dan menyifatkan keadaan itu sama seperti strategi berperang di mana adalah penting bagi proses litigasi unsur kejutan. 


Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Belud digantung selama dua hari dari menghadiri persidangan Parlimen selepas diarahkan oleh Timbalan Speaker, Rashid Hasnon.


Perintah itu dikeluarkan selepas Ahli Parlimen berkenaan meminta Azhar menjelaskan tindakannya menolak usul yang dikemukakannya berhubung isu tuntutan waris kesultanan Sulu ditolak. 


Sumber: MalaysiaKini, Free Malaysia Today

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo