Slider

Bajet 2023, tumpu pada agenda kesejahteraan rakyat - Menteri Kewangan

Foto Malaysia Now



Bajet 2023 akan terus menumpukan kepada agenda kesejahteraan rakyat terutamanya dalam aspek pendapatan dan perlindungan sosial seiring dengan momentum pemulihan ekonomi pasca-Covid-19, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.


Selain itu, ia akan turut mengutamakan usaha pembaharuan ekonomi bagi memastikan pertumbuhan yang mampan serta meningkatkan daya saing perniagaan dan rantaian nilai, katanya.


Menurut Menteri Kewangan, memandangkan dunia sekarang sedang bergelut dengan cabaran ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim yang serius, inisiatif berkaitan kemampanan turut diambil kira dalam Bajet 2023.


"Dengan tekanan inflasi yang kian meruncing terutamanya bagi harga komoditi dan makanan, maka cabaran ini juga memerlukan pengurusan subsidi yang lebih mampan di samping terus memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan masa hadapan serta melaksanakan konsolidasi fiskal kerajaan," katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.


Katanya agenda keterangkuman selaras dengan hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan terus diberi penekanan bagi memastikan pengagihan kekayaan yang adil dan saksama.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim-Bandar Bharu) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan dasar strategi dan pendekatan yang unik atau berbeza dalam pembikinan Bajet 2023 berbanding bajet sebelumnya yang akan dibentang tidak lama lagi.


"Sepanjang proses penyediaan Bajet 2023, bagi mendapatkan input dan cadangan selaras dengan keutamaan yang telah dikenal pasti, kerajaan komited untuk terus melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan terutama pandangan serta maklum balas daripada orang awam," jelas Tengku Zafrul.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo