Slider

Bank Negara tetap naikkan OPR 2.25% hari ini, meskipun rakyat minta tangguhkan



Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia mengambil keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi penanda aras pinjaman dan simpanan iaitu sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus. 


Susulan peningkatan itu, kadar siling dan lantai koridor OPR juga meningkat masing-masing kepada 2.50 peratus dan 2.00 peratus. 


Kenaikan itu merupakan kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas Bank Negara menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus semasa mesyuarat terakhirnya Mei lalu. 


Bank pusat itu dalam kenyataannya berkata, kegiatan ekonomi di Malaysia terus meningkat pada bulan-bulan kebelakangan ini.


Ia berkata, penunjuk eksport dan perbelanjaan runcit mengesahkan momentum pertumbuhan yang positif, disokong oleh peralihan ke fasa endemik.


"Dalam pasaran pekerja, kadar pengangguran terus menurun dengan penyertaan tenaga kerja yang lebih tinggi dan prospek pendapatan yang bertambah baik.


"Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi akan disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh meskipun permintaan luaran dijangka sederhana disebabkan rintangan yang dihadapi oleh pertumbuhan global.


"Selain itu, pembukaan sempadan antarabangsa sejak 1 April 2022 akan menyokong pemulihan sektor berkaitan pelancongan. Aktiviti dan prospek pelaburan terus disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun," kata BNM.


Bank pusat bagaimanapun menegaskan bahawa risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk.


Ia berkata, sejak awal tahun sehingga kini, inflasi keseluruhan berpurata pada 2.4 peratus.


Katanya, meskipun purata itu dijangka kekal dalam julat unjuran tahun ini iaitu 2.2 peratus hingga 3.2 peratus, inflasi keseluruhan mungkin lebih tinggi pada sesetengah bulan disebabkan terutama oleh kesan asas daripada harga elektrik.


"Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada 2022 apabila permintaan terus bertambah baik dalam keadaan kos yang tinggi.


"Namun, kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.


"Prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global yang disebabkan terutamanya oleh konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan, di samping langkah-langkah dasar dalam negeri," katanya.


Berikutan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif, MPC mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari.


BNM berkata, keputusan itu konsisten dengan pandangan MPC bahawa keadaan yang pertama kali berlaku ini sehingga memerlukan penetapan kadar OPR terendah yang pernah dicatatkan, kini semakin reda.


"Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.


"MPC akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri," katanya.


Di peringkat antarabangsa, BNM berkata pembukaan semula ekonomi global dan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi. Namun, katanya faktor-faktor ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan tekanan kos yang semakin meningkat, konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.


"Tekanan inflasi terus meningkat disebabkan terutama oleh harga komoditi yang tinggi dan keadaan permintaan yang kukuh, meskipun keadaan rantaian bekalan global sedikit reda.


"Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat," katanya.


Sumber: Berita Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo