Slider

Cuepacs gesa kerajaan naikkan gaji sebelum PRU15 atau penjawat awam protes di Putrajaya



Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebelum Parlimen dibubarkan atau berdepan dengan risiko protes jalanan daripada penjawat awam. 


Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, pihaknya sudah banyak kali mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar gaji kakitangan awam Gred 19 kepada Gred 29 dinaikkan. Namun, tiada sebarang tindakan dari JPA. 


"Jika gaji mereka tidak disemak sebelum Parlimen dibubarkan, CUEPACS bersedia untuk berpiket di Putrajaya bersama penjawat awam," katanya.


Dalam perhimpunan itu kelak, CUEPACS juga akan menuntut pengurangan kos barangan sebelum pilihan raya umum akan datang. 


Sebelum ini, CUEPACS telah menggesa kerajaan meluluskan cadangan menaikkan gaji penjawat awam bagi membantu mereka menghadapi krisis kenaikan harga barang dan kos sara hidup. 


Selain menaikkan gaji, Adnan turut mencadangkan beberapa perkara lain untuk dipertimbangkan seperti:


  • Pelaksanaan gaji minimum RM1,800 untuk kakitangan awam
  • Dua kenaikan setiap tahun
  • Sistem saraan lebih berkesan yang menyeluruh, adil dan saksama
  • Elaun pelbagai tugas
  • Elaun batik dan pakaian kebangsaan
  • Mengisi kekosongan jawatan pembantu tadbir dengan segera
  • Tiada pelupusan jawatan yang tidak diisi selama dua tahun seperti yang terkandung dalam pekeliling Perbendaharaan baru-baru ini sebagai langkah penjimatan kos dan;
  • Menamakan semula jawatan pembantu tadbir kepada pegawai perkeranian, seperti sebelum ini. 


Selain itu, struktur gaji semasa penjawat awam yang sudah dilaksanakan sejak 2002 dan wajar dikaji semula bagi memastikan ia relevan dengan zaman semasa.


Sumber: Free Malaysia Today

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo