Slider

Datuk Bandar kahwin dengan buaya & sempat cium 'pengantin' dalam majlis jarang berlaku itu



Datuk Bandar di sebuah perkampung kecil di Mexico berkahwin dengan seekor buaya dalam satu upacara tradisional yang sangat indah. 


Victor Hugo Sosa, Datuk Bandar San Pedro Huamelula di Oaxaca, mengikat pertalian dengan 'pengantinnya' yang memakai busana persandingan dalam upacara yang penuh warna-warni pada Khamis lalu, 30 Jun 2022. 


Suasana majlis yang dihiasi dengan muzik tradisional dan para tetamu yang datang turut menari serta menggesa Sosa mencium pengantinnya. 


Sosa akur, lalu mengendong 'pengantinnya' sebelum dicium pada bahagian rahang untuk mengelak perhubungan mereka itu dilanda malapetaka yang tidak diingini. 


Buaya itu diarak di seluruh kampung, dibawa oleh penduduk kampung sambil dikipas dengan topi. 


Difahamkan, perkahwinan yang jarang berlaku itu sudah menjadi amalan dan tradisi masyarakat orang asli Chontal dan Huave di negeri Oaxaca. Upacara itu dikaitkan dengan pemujaan terhadap semangat alam semula jadi yang mengharapkan pulangan hasil tuaian yang baik. 


"Kami meminta alam memberi kami hujan yang secukupnya, makanan yang cukup dan bekalan ikan sungai yang mencukupi," kata Sosa. 


San Pedro Huamelula adalah sebuah perkampung nelayan kecil di pantai pasifik Oaxaca, salah satu kawasan termiskin di Mexico. 


Kawasan itu juga merupakan perumahan budaya bagi orang asli yang boleh dikatakan terkaya di negara itu di mana orang ramai masih mengekalkan bahasa dan tradisi pra-Hispanik. 


Selama bertahun-tahun, tradisi itu telah diamalkan dan reptilia berusia tujuh tahun itu dipercayai sebagai dewa yang mewakili bumi dan dikahwinkan dengan seorang pemimpin tempatan sebagai lambang perpaduan di antara manusia dan dewa. 


Elia Edith Aguilar, penganjur majlis itu berkata, dia berasa istimewa diberikan peluang untuk menganjurkan majlis itu sambil mengatakan dia mengambil masa yang lama untuk memilih pakaian yang bersesuaian dengan pengantin bersisik. 


"Ia memberi banyak kegembiraan buat saya dan membuatkan saya bangga dengan asal usul saya. Ia satu tradisi yang sangat indah," katanya. 


Sumber: Daily Star

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo