Slider

'Dia mangsa keadaan' - Kawan dakwa Darlene teraniaya selepas keterlanjurannya dengan pelanggan



Susulan tular video pelanggan memeluk pelayan wanita di sebuah restoran di Setiu baru-baru ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) telah melakukan serbuan di restoran berkenaan kelmarin.


Serbuan itu dilakukan bagi mengambil keterangan wanita berusia 35 tahun itu yang dikenali sebagai Darlene untuk melengkapkan siasatan. 


Salah seorang pekerja restoran itu yang enggan didedahkan namanya berkata, Darlene teraniaya selepas keterlanjuran dengan beberapa pelanggan mereka. 


"Dia mangsa keadaan, orang lain buat hal, kami yang kena," katanya yang juga memaklumkan Darlene terpaksa mengambil cuti ekoran video tular itu mengundang kecaman pelbagai pihak. 


"Tak pasal-pasal terpaksa bercuti untuk menguruskan hal ini (beri keterangan kepada JHEAT)," katanya memetik laporan dari Utusan Online, Rabu. 


Portal Sinar Harian pula melaporkan, JHEAT telah menahan Darlene untuk diambil keterangan dalam serbuan yang dilakukan bersama pihak polis serta Majlis Daerah Setiu pada malam Selasa. 


Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, pihaknya telah mengambil keterangan Darlene dan beberapa lagi saksi lain akan dipanggil untuk membantu siasatan. 


"Sebaik siasatan lengkap, kertas siasatan akan dihantar ke bahagian pendakwaan syarie untuk didakwa di bawah mana-mana seksyen," katanya. 


JHEAT mengesyorkan kes itu dirujuk mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001. 


Tambahnya, Darlene sebelum ini pernah dipanggil ke pejabat JHEAT untuk diambil tindakan dan diberi nasihat. 


Sumber: Utusan Online, Sinar Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo