Slider

Isteri pemilik Crackhouse Comedy Club diugut bunuh



Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengesahkan pihaknya menerima laporan yang mendakwa keluarga kepada pemilik Crackhouse Comedy Club Kuala Lumpur menerima ugutan bunuh daripada individu yang tidak dikenali. 


Mohamad Fakhrudin berkata, laporan polis tersebut dibuat oleh pemilik syarikat Mycomedy Sdn Bhd semalam. 


"Polis mengesahkan laporan yang dibuat, ugutan diterima oleh isteri pemilik kelab berkenaan dari seorang lelaki yang tidak dikenali. 


"Ugutan yang diterima mempunyai kaitan dengan kejadian simbahan cat di premis terbabit," katanya. 


Polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. 


Terdahulu, premis Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) telah disimbah dengan cat merah dan hitam yang didalangi dua individu tidak dikenali pada jam 4 pagi. 


14 Julai lalu, pemilik kelab komediri itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden Siti Nuramira yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan komediri di pentas kelab tersebut. 


Menurut satu sumber, pemilik kelab berkenaan juga ditahan atas sebab video tular yang menunjukkan dirinya mempersenda agama Islam dan bangsa Melayu sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo