Slider

'Jangan viral, okay!' - Ludah bekas P.A, Mak Wan didakwa di mahkamah

Foto Utusan Online


Awal bulan Julai, media melaporkan pelakon veteran Mak Wan Latah atau nama sebenar Halimaton Saadiah Mohd Daud, 61, dituduh meludah pembantu peribadinya yang dikenali sebagai Amell. 


Berkata kepada media, Amell mengakui dia sebelum itu memukul Mak Wan atas alasan mempertahankan diri selepas diludah oleh pelakon itu dalam kes berhubung kehilangan wang di mana Amell dituduh mengambil wang tersebut. 


"Betul saya ada pukul Mak Wan tetapi ia berlaku selepas dia ludah saya apabila saya bertanyakan satu soalan yang dia sendiri tak boleh terima. Saya serang dia sebab dia ludah saya," katanya. 


Hari ini, Mak Wan didakwa di Mahkamah Majistret Taiping atas pertuduhan berkelakuan aib iaitu meludah dengan tujuan membangkitkan kemarahan terhadap bekas pembantu peribadinya. 


Mak Wan bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Nur 'Atiqah Sapari. 


Sebelum masuk ke mahkamah, Mak Wan memberi amaran kepada petugas media untu ktidak merakam visualnya sebelum masuk ke kamar bicara. 


"Jangan viral, okay" katanya. 


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja meludah Nurul Amalina Mohamad Kamal, 28, di Kampung Titi Kasai, Batu Kurau pada jam 7 malam 24 Jun lalu. 


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM100. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Inspektor Khoo  Thean Heng yang menawarkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh. 


Peguam tertuduh,  T Selvadoray dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) meminta mahkamah mengurangkan kadar jaminan dengan alasan pendapatan tertuduh tidak menentu kerana bekerja sambilan, selain merupakan ibu tunggal kepada empat anak. 


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin. 


Sumber: Harian Metro, mStar Online

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo