Slider

JPJ lancar Op Khas Hari Raya Aidiladha, ambil tindakan terhadap pemandu lakukan kesalahan

Foto Funtastiko



Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan Op Khas Hari Raya Aidiladha mulai hari ini hingga Rabu depan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pengguna jalan raya yang pulang ke kampung sempena cuti perayaan itu.


Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata dalam operasi itu, pihaknya memberi lebih fokus kepada pemandu bas ekspres dan penguatkuasaan terhadap sembilan kesalahan utama antaranya memandu laju, tidak menggunakan tali pinggang keledar serta membawa muatan berbahaya.


"Pemantauan terhadap pemandu bas ekspres akan dilakukan di 28 terminal bas utama di seluruh negara melalui kaedah penyamaran sebagai penumpang dan pemantauan di lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya," katanya pada sidang media operasi itu di Plaza Tol Sungai Besi malam tadi.


Dia berkata sepanjang tempoh operasi itu juga, JPJ akan menyita kenderaan dipandu oleh individu yang tidak memiliki lesen memandu atau lesen memandu mereka telah tamat tempoh.


"Kenderaan yang telah tamat cukai jalan juga akan disita dalam op ini," katanya.


Aedy Fadly juga menyeru orang ramai agar melaporkan sebarang kesalahan jalan raya melalui aplikasi JPJ e-ADUAN@JPJ yang dilancarkan pada April lepas.


Dia turut menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan mematuhi peraturan semasa pulang ke kampung supaya selamat sampai ke destinasi.


Mengulas operasi di Plaza Tol Sungai Besi, Aedy Fadly berkata setakat 10 malam tadi, sebanyak 330 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dan sembilan kenderaan melibatkan lima motosikal manakala empat kereta disita kerana cukai jalan tamat tempoh serta pemandu tidak memiliki lesen.


"Dalam operasi ini juga, dua lelaki berusia 30-an ditahan kerana positif dadah," katanya.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo