Slider

'Kami dah macam jadi pengemis tagih bantuan banjir yang dijanji PM' - Mangsa banjir 2021, kesal janji dicapati

Foto hiasan



Bencana banjir yang berlaku di Semenanjung Malaysia pada Disember tahun lalu, menyebabkan banyak harta benda penduduk yang musnah. 


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada ketika itu mengumumkan beberapa bantuan ihsan kepada mangsa-mangsa banjir. Namun sehingga ke hari ini, masih ramai lagi mangsa-mangsa banjir tidak mendapat bantuan yang telah dijanjikan.


Rata-rata mangsa meluahkan rasa kecewa terhadap agensi yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan pengagihan bantuan banjir. 


Tinjauan di Facebook, Mohd Azri Said Mas berkata, sudah lebih enam bulan bencana itu berlaku tetapi Bantuan Wang Ihsan (BWI), Bantuan Banjir Keperluan Asas (BBKA) dan Bantuan Baikpulih Rumah Mangsa Banjir (BBRMB) yang dijanjikan masih belum diberi. 




"Bila diajukan kepada PM Ismail Sabri, dengan pantas setiausaha politik kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul, iaitu Rizam Ismail bertanya mengenai apa yang berlaku sebelum diterangkan dari A ke Z. 


"Selepas itu, pegawai dari Pejabat Pembangunan Negeri Selangor - ICU JPM menghubungi dan memberi janji-janji manis dari sebelum raya hinggalah sekarang. 


"Mangsa-mangsa banjir ini berulang alik naik ke pejabat ICU untuk memberi maklumat bank kerana katanya bayaran bantuan akan dikreditkan ke akaun masing-masing. Sehinggalah satu hari itu pegawai ICU mengarahkan semua yangg masih belum menerima bantuan, datang ke Pejabat Daerah dan Tanah Petaling untuk menerima baki bantuan," katanya. 


Namun, kegembiraan mangsa-mangsa banjir yang datang penuh dengan harapan bertukar menjadi duka selepas dimaklumkan bukan semua penerima yang boleh datang mengambil bantuan itu. 


"Setiausaha politik MOF kata duit sudah diserahkan kepada NADMA, ICU pun kata duit sudah turun. Tetapi sampai sekarang masalah ini masih belum selesai. Di mana silapnya? Jangan jadikan kami ini seperti pengemis meminta baki bantuan yang PM telah umumkan," katanya. 


Di Facebook ICU JPM, ramai mangsa-mangsa banjir bertanya mengenai status pembayaran bantuan tersebut. Malangnya, sehingga ke hari ini pertanyaan rakyat tidak dijawab oleh ICU JPM. 


"Boleh kami semua tahun, bila baki bantuan RM2,500 itu akan diberikan? BKM fasa dua pun masih tiada bayang. Ini nak bagi bantuan ke tak nak ye? Dah hampir setahun, pemberian bantuan masih tak selesai. Macam mana?" tulis Amir. 


"Dah masuk bulan Julai, apakah kami kena tunggu bencana banjir sekali lagi, baru ICU JPM nak buat kerja?" tulis Muhammad Azizie Jalil. 








"Dah bulan Julai 2022, masih tak dapat lagi ni. Nanti masuk Disember 2022, genap satu tahun banjir dah berlaku. Kalau tiba-tiba kiamat, macam mana? Apakah nasib," tulis Hairul Lee. 


"Saya merayu agar duit BBKA RM2,500 boleh dimasukkan sececpat mungkin ke dalam akaun kami yang berada dalam kesusahan ini. Lagi-lagi dengan harga barangan keperluan yang naik mendadak," tulis Mahendran Murugasu.

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo