Slider

'Kami ingatkan dia nak jalani hidup low profile' - Zakiah kata Zalina sudah lama menghilang, jiran dakwa Zalina kurang bergaul dengan jiran tetangga

Foto kediaman Zalina Azman | Harian Metro



Bekas personaliti TV, Zakiah Anas mendakwa rakannya, Zalina Azman sudah lama menghilang dan dia mengakui terkejut apabila kehilangan sahabat baiknya itu tular di media sosial. 


Pernah cuba menghubungi Zalina, namun gagal kerana panggilan langsung tidak berdering. 


"Dia seorang sahabat yang sangat baik dan kami semua sayangkan dia. Kami cuba menghubunginya tetapi tidak dapat, malah tiada dering. Itu pun sangat lama, saya rasa dalam beberapa tahun lalu. 


"Kami ingatkan Zalina mahu menjalani kehidupan low profile, jadi kami hormati pendiriannya. Namun terkejut apabila anaknya membuat laporan polis, rupa-rupanya anak dia pun sedang mencari," katanya. 


Kali terakhir Zakiah bertemu dengan Zalina ketika majlis doa selamat sebelum berangkat ke Makkah bagi menunaikan haji pada 2013. Sekembalinya dari Makkah, dia langsung tidak pernah berjumpa dengan Zalina. 


"Kami lost contact sejak tidak bekerja dengan TV3. Dia pun mungkin sibuk dengan keluarganya. Jadi, kami tak nak kacau dan faham kehidupan masing-masing


"Zalina juga tiada akaun media sosial seperti Facebook dan Instagram kerana dia sangat low profile. Dia bukanlah seorang yang dibenci. Jujurnya, memang ada persoalan di mana Zalina sebab lama tak jumpa setiap kali ada pertemuan dengan rakan-rakan. 


"Ada juga yang mengatakan pernah berjumpa dengannya di Shah Alam pada 2019, diharapkan Zalina segera ditemui," katanya. 


Sementara itu, seorang jiran mendakwa Zalina kurang bergaul dengan jiran tetangga.  Tinjauan wartawan Harian Metro di kediaman Zalina mendapati keadaan rumah itu seperti sudah lama ditinggalkan. 


Mohammad Bokhari Shariff, 76, berkata, dia tidak pernah bersua muka dengan Zalina sejak wanita itu berpindah ke kawasan perumahan Seksyen 3, Shah Alam. Malah, dia hanya mengetahui kehilangannya selepas polis datang menemuinya untuk mendapatkan maklumat. 


"Saya lihat rumah itu sedang melalui proses ubah suai yang seakan-akan hendak dijadikan pejabat. Tetapi proses itu terhenti beberapa bulan sebelum kehilangannya, tahun lalu. 


"Namun saya rasa dia jarang tinggal di situ, cuma perasan ada sebuah kereta mewah hitam selalu parkir di rumah itu dan rasanya ia mungkin kereta Zalina," katanya.


Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya masih belum mendapat maklumat terkini mengenai kes kehilangan Zalina walaupun hebahan telah mula dibuat semalam. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo