Slider

'Kenapa banyak dokumen? Saya tak nak tengok, penat, pergi cari orang lain' - Pegawai JPJ enggan layan pelanggan akhirnya mohon maaf



Minggu lalu, seorang pemandu jengkaut bertindak melanggar kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah sehingga terbalik kerana berang disaman atas kesalahan memandu jentera tersebut tanpa lesen. 

Minggu ini, JPJ Sabah sekali lagi menjadi bahan bualan netizen di media sosial susulan aduan dari seorang lelaki berhubung tindakan seorang kakitangan JPJ cawangan Bundusan yang didakwa enggan melayan pengadu. 


Pengadu, Wong Qiau Wei, berkata, dia datang ke JPJ Bundusan untuk menguruskan hal berkaitan kenderaan syarikat setelah diarah oleh pihak Kementerian Pelancongan untuk berbuat demikian. 


"Jam 3.30 petang, saya pergi ke JPJ Bundusan dan menunggu giliran. Apabila tiba giliran, saya pergi ke kaunter nombor tiga dan menyapa pegawai berkenaan sebelum menunjukkan dokumen-dokumen yang dibawa untuk urusan tersebut. 


"Namun, pegawai itu berkata, 'Ini apa? Kenapa begitu banyak dokumen? Saya tidak mahu tengok, saya penat. Kamu cari orang lain'. 


"Tidak cukup dengan itu, pegawai berkenaan juga membuang dokumen yang dibawa kepada saya semula," katanya. 


Tidak berpuas hati, berlaku perdebatan di antara mereka berdua. Pengadu menjelaskan, dia datang untuk berurusan dengan petugas di kaunter JPJ kerana urusan tersebut hanya boleh diselesaikan di situ. 


Enggan memanjangkan cerita, pengadu mengalah dan pergi mendapatkan khidmat dari pegawai JPJ di kaunter lain sebelum membuat aduan berhubung tindakan pegawai terbabit melalui saluran rasmi jabatan berkenaan. 




Perkongsian Qiau Wei di Facebook turut viral dan mendapat perhatian Timbalan Ketua Pengarah JPJ Sabah yang kemudian menghubunginya untuk datang ke Pejabat JPJ Bundusan bagi menyelesaikan masalah itu.


"Saya telah hadir ke pejabat JPJ Bundusan dan telah berjumpa dengan pihak atasan JPJ serta pegawai berkenaan. Pegawai itu telah memohon maaf dan saya dengan seikhlas hati juga menerima permohonan maafnya. 




"Kami sebagai pengguna berharap perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi. Sama-sama kita memudahkan urusan sesama kita kerana hakikatnya kita saling memerlukan antara satu sama lain," katanya. 


Sumber: Qiau Wei

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo