Slider

'Ladang durian Musang King di Gunung Inas, bukan punca bencana banjir di Baling' - MB Kedah



Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) menafikan projek ladang durian Musang King miliknya menjadi punca bencana banjir berlaku di Baling baru-baru. 


Penjelasan dari MBI itu turut disokong oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor turut tampil menjelaskan, projek di puncak Gunung Inas itu tidak boleh dianggap sebagai punca utama berlakunya banjir. 


Beliau berkata, bencana banjir yang berlaku itu mempunyai persamaan dengan kejadian kepala air yang berlaku di Yan, tahun lalu. Imej yang dirakam dari helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mendapati kolam kecil yang dibina penduduk untuk menakung air masyarakat di gunung itu masih ada, tetapi sudah dipenuhi pasir. 


"Kolam air yang digunakan pengusaha tanaman durian juga tidak pecah. Itu bermaksud, aliran air yang membentuk kepala air adalah air yang terkumpul di alur sepanjang Gunung Inas sebelum mengalir serentak ke bawah. 


"Air itu disekat kayu sebelum mengalir serentak ke bawah dan itu yang membentuk kepala air. Fenomena ini menyamai kejadian yang berlaku di Gunung Jerai pada tahun lalu," katanya. 


Walaupun timbul dakwaan yang mengatakan ladang durian itu menjadi punca utama bencana banjir di Baling, Sanusi berkata, dakwaan itu perlu disertakan dengan bukti kukuh. 


Mengulas lebih lanjut, beliau pada 2020 pernah mengarahkan pengusaha ladang durian segera menanam tanaman tutup bumi di kawasan bukit yang telah digondolkan dan pengusaha akur dengan arahan tersebut. 


Namun, tanaman tutup bumi itu mungkin tidak mampu menyerap aliran air yang banyak menyebabkan berlakunya bencana yang tidak diingini. 


Dalam pada itu, Sanusi juga akan menempatkan mangsa-mangsa banjir yang kehilangan rumah akibat musnah dalam bencana itu, di rumah sewa yang dibiayai oleh kerajaan negeri untuk sementara waktu. 


"Kita akan sewa rumah untuk didiami mangsa secara sementara dan usaha mendapatkan rumah gantian akan dibuat jika mereka ada tapak lebih selamat. 


"Kita khuatir sungai yang dalam, kini menjadi cetek akibat kejadian kepala air dan bimbang berlaku lagi limpahan pada masa akan datang," katanya. 


Sumber: Berita Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo