Slider

Mayat mangsa banjir wanita hamil & ibu mentuanya ditemui

Foto Bernama



Dalam perkembangan terkini tiga mangsa banjir termasuk wanita hamil empat bulan yang dilaporkan hilang semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah memaklumkan, pihaknya telah menemui dua mayat mangsa pagi ini. 


BACA: 'Dia pesan, jaga diri baik-baik' - Wanita hamil bersama 2 keluarganya hilang selepas rumah dihanyutkan arus deras banjir di Baling


Mayat Salmah Mat Akib, 53, dan menantunya, Nurul Anis Abu Hassan, 23, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada jam 9.30 pagi tadi. Manakala, seorang lagi remaja, Mohd Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, masih belum ditemui. 


Terdahulu, tiga mangsa berkenaan dilaporkan hilang selepas rumah mereka dihanyutkan arus deras banjir pada petang semalam. 


Nurul Anis dilaporkan sedang hamil anak sulung dan kandungannya berusia empat bulan. Menurut bapa mentuanya, Abd Rahman Said, 71, berkata, Nurul Anis sempat menghubunginya untuk memaklumkan bahawa air semakin naik di kawasan rumah mereka di Kampung Iboi, Kupang. 


Namun, Abd Rahman tidak sempat sampai ke rumah berkenaan ekoran banyak halangan di jalan yang menghubungkan ke kawasan rumahnya. 


Sementara itu, suami mangsa, Khairul Ashraf Nor Azman, 24, berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di Pulau Pinang dan sepatutnya pulang semalam untuk membawa isterinya melakukan pemeriksaan kandungan. 


Khairul Ashraf kemudian dimaklumkan mengenai bencana banjir lalu bergegas pulang tetapi apabila sampai, rumah yang didiami isterinya telah hilang dibawa arus. 


"Saya dan isteri tinggal di Pulau Pinang, namun isteri saya minta balik ke kampung dan tinggal dengan emak untuk jaga dia sebab emak saya kena strok," katanya yang mendirikan rumah tangga pada Feb lalu.


Khairul Ashraf berkata kali terakhir dia bertemu dengan isterinya pada minggu lepas dan isterinya itu sempat meninggalkan pesan supaya menjaga diri baik-baik.


"Sebelum kejadian kami juga sempat berbalas mesej dan dia meminta saya membelikan dia makanan dan macam-macam benda lain, tapi bila kejadian ini berlaku tak sempat saya nak tunaikan permintaan dia," katanya.


Khairul Ashraf berharap isterinya dan ahli keluarganya yang lain dapat ditemukan dengan selamat, namun dia reda dengan segala ketentuan.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo