Slider

MB Kedah mohon kawasan kritikal banjir di Baling diisytiharkan darurat tahap 1 atau 2



Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata dia seboleh-bolehnya mahu kawasan yang kritikal di beberapa kampung terjejas banjir di Baling diisytiharkan sebagai kawasan darurat bencana tahap satu atau dua selari dengan situasi dan bidang kuasa yang ada.


Katanya pengisytiharan itu amat penting bagi mempercepatkan operasi bantuan daripada agensi negeri dan persekutuan (belanja kecemasan) berdasarkan peruntukan sedia ada di agensi masing-masing.


“Menurut Arahan MKN20, kuasa mengisytiharkan Darurat Bencana (Tahap III) terletak di tangan perdana menteri atas nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).


"Bagi Darurat Bencana Tahap I, ia boleh diisytiharkan oleh Pegawai Daerah selaku Pengarah JPBP.


“Perbelanjaan atas sebab kecemasan akan memudahkan agensi segerakan semua langkah yang perlu untuk memperbaiki infrastruktur yang rosak dan memulihkan keperluan dan kemudahan asas penduduk terlibat,” katanya menerusi catatan dalam akaun Facebooknya hari ini.


Bagaimanapun, Sanusi berkata, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pagi ini yang akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Ammar Shaikh Mahmood Naim selaku pengarahnya.


“Pada pukul 10 pagi, ketua polis daerah selaku pengarah operasi jawatankuasa pengurusan bencana daerah (JPBD) akan memberikan taklimat awal operasi mencari dan menyelamat (SAR).


“Saya juga dimaklumkan pihak bomba akan turut menggunakan khidmat helikopter untuk meninjau keadaan dari udara bagi mendapat gambaran lebih jelas kesan dan punca-punca bencana," katanya.


Sementara itu Sanusi berkata dia dimaklumkan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa hujan lebat yang mencurah di daerah Baling menyebabkan air sungai melimpah dan taburan hujan yang disukat di semua pusat cerapan sepanjang sungai menunjukkan kapasiti hujan yang banyak.


Katanya dakwaan penduduk yang mengesyaki beberapa tandak tadahan air masyarakat di Gunung Inas telah pecah juga akan disiasat oleh agensi terbabit dan jabatan perhutanan untuk menentukan kesahihannya.


“Buat masa ini, ia belum dapat disahkan. Saya doakan semua mangsa dapat bersabar dengan ujian ini dan semua agensi dan sahabat handai akan terus membantu kerana kita semua adalah bersaudara,” katanya.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo