Slider

Menteri Hal Ehwal Agama rayu agar Menteri Kewangan tak tangguh kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada Guru Kafa

Foto The Star



Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Idris Ahmad berkata beliau sendiri telah berbincang dengan Menteri Kewangan berhubung rayuan penangguhan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Idris berkata beliau telah bertemu dengan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi memaklumkan hasrat dan rayuan tersebut untuk pertimbangan selanjutnya.


“Kita buat rayuan kepada Kementerian Kewangan. Insya-Allah kita cuba atasi kerana semua itu kena ikut peraturan. Bukan kita tidak mahu jaga guru KAFA,” katanya dalam sidang media pada program Jualan Bergerak Bantu Rakyat di Surau Ahmadi, Sungai Petai di Perak hari ini.


Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilapor mengesahkan keputusan menangguhkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh selama 60 hari kepada guru KAFA seperti yang diumumkan pada Januari lepas, sebagai mematuhi saranan Kementerian Kewangan.


Idris berkata rayuan kepada MOF itu juga sebagai langkah membela nasib guru KAFA dan membantu kumpulan tersebut dalam apa juga cara.


Dalam perkembangan lain, Idris berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu sensitif berkaitan penghinaan terhadap agama Islam dan pihaknya mendapat kerjasama baik daripada polis untuk menangkap mereka yang terlibat.


“Dakwaan bahawa kerajaan tidak bertindak tegas hanya bertujuan memanipulasi isu dan mengeruhkan keadaan kerana undang-undang yang sedia ada cukup untuk bertindak,” katanya dan menambah beberapa individu yang terlibat telah dikenakan tindakan undang-undang.


Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya membantu kerajaan dengan melaporkan kes-kes penghinaan terhadap agama Islam yang mungkin terlepas pandang oleh pihak berkuasa.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo