Slider

No telefon Zalina kali terakhir aktif pada 20 November, polis giat kesan pekerja pengubahsuaian rumah



Dalam perkembangan terkini kes kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Azman, polis mengesahkan kali terakhir nombor telefon bimbitnya aktif adalah pada 20 November 2021, iaitu empat hari sebelum anak lelakinya cuba menghubungi wanita itu. 


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Zalina mungkin hilang lebih awal dari tarikh yang dilaporkan. 


"Kalau anaknya tidak cuba telefon, kita pun tidak tahu dia hilang. Berkemungkinan Zalina sudah hilang lebih awal, tapi tidaklah awal sangat sebab kita dah semak dan pada 20 November didapati telefon dimatikan (tiada rekod panggilan keluar atau masuk). 


"Sama ada kerana sudah kehabisan bateri, itu kita tidak dapat pastikan," katanya. 


Sementara itu, pemeriksaan dalam rumah Zalina mendapati, keadaan dalam kediaman itu tidak tersusun disebabkan ia dalam proses pengubahsuaian menjadi sebuah galeri. 




Polis kini sedang mengesan pekerja pengubahsuaian untuk membantu siasatan berhubung kes kehilangan Zalina. 


"Kita masih jalankan siasatan, kini sedang mengesan pekerja-pekerja yang terlibat dalam pengubahsuaian kediaman itu yang mungkin boleh membantu siasatan," katanya. 


Sebelum ini, jirannya, Mohammad Bokhari Shariff, 76, memaklumkan kerja-kerja pengubahsuaian di rumah Zalina terhenti beberapa bulan sebelum dia dilaporkan hilang. 


Polis percaya, Zalina masih berada di dalam negara berikutan tiada rekod pergerakan keluar masuk yang dikesan pihak berkuasa setakat ini. 


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo