Slider

Pakai pakaian mencolok mata boleh jadi gangguan seksual - Menteri Rina Harun



Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS), semalam bertanya dalam sidang Parlimen apakah memakai pakaian yang berunsur provokasi seksual atau tidak sesuai merupakan satu kesalahan gangguan seksual. 


Menjawab soalan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun berkata, memakai pakaian mencolok mata boleh dianggap sebagai gangguan seksual sekiranya menepati definisi dalam Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual yang baru diluluskan Dewan Rakyat hari ini. 


RUU berkenaan mentakrifkan ganggual seksual sebagai sebarang perlakuan seksual yang tidak diingini dalam apa jua bentuk sama ada lisan atau bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal yang disasarkan pada individu yang secara munasabah menyebabkan kesalahan, penghinaan atau mengancam kesejahteraan mereka. 


"Sekiranya tujuan memakai pakaian mencolok mata atau tidak sopan, ditujukan terus kepada seseorang dan menepati definisi, maka ia satu kesalahan yang boleh diajukan kepada tribunal. 


Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh (DAP) bersetuju bahawa terdapat kes dimana seseorang menggunakan cara berpakaian atau mendedahkan tubuh mereka untuk mengganggu seseorang seperti mendedahkan kemaluan atau melucutkan pakaian mereka. 


Namun, terdapat potensi perkara itu akan disalahgunakan. Hujah pakaian sering digunakan untuk menyalahkan mangsa jenayah seksual walaupun terdapat bukti bahawa rogol dan gangguan seksual berlaku tanpa mengira cara seseorang berpakaian. 


Sumber: MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo