Slider

Pekida JB lapor polis, dakwa Rizal Crackhouse Comedy Club hina bangsa Melayu



Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Johor Bahru meminta polis menyiasat perbuatan seorang pemilik kelab komedi yang dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur hinaan terhadap agama Islam dan Melayu, menerusi beberapa video tular di media sosial.


Pengerusinya Tazul Arifin Nasri berkata tindakan lelaki itu yang mengeluarkan kenyataan sedemikian dilihat seperti memperlekehkan agama Islam dan bangsa Melayu.


"Saya telah melihat satu video di aplikasi TikTok yang telah disebarkan ke WhatsApp serta laporan berita di sebuah portal yang memaparkan video serta kenyataan berbaur hinaan terhadap orang Melayu, bumiputera dan Islam oleh seorang individu.


"Beliau menggunakan platform pentas di kelab komedi itu dan menggunakan penghinaan dan kutukan terhadap agama Islam, bangsa Melayu dan Bumiputera sebagai memperlekehkan, untuk membuat persembahan kepada tetamu-tetamu kelab itu," katanya pada sidang media yang turut disertai lebih 20 ahli Pekida di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), di sini hari ini.


Beliau berkata pihaknya telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap individu itu.


Tazul pada masa sama berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan keharmonian sesama kaum perlu sentiasa dipelihara.


Baru-baru ini beberapa rakaman video yang dipercayai memaparkan lelaki terbabit melakukan persembahan komedi di sebuah kelab komedi, tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen.


Sementara itu Ketua Polis Daerah JBS ACP Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis itu dan menjelaskan ia akan dirujuk kepada Bukit Aman.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo