Slider

'Pemandu peribadi tak larat, jadi saya pandu la kereta sendiri tapi kena tahan polis' - Haqiem Stopa



Susulan tular gambar 'ikon permotoran' disaman polis trafik kerana memandu tanpa lesen, tuan empunya badan, Haqiem Stopa, 22, tampil memberi penjelasan. 


Berkata kepada Harian Metro, Selasa, 19 Julai 2022, Haqiem mengakui dia ditahan polis ketika melalui sekatan jalan raya. Namun dia menafikan dirinya disaman atas kesalahan tiada lesen motosikal seperti yang didakwa sesetengah pihak. 


Sebaliknya dia ditahan ketika memandu kereta dan hanya satu notis saman bernilai RM600 atas dua kesalahan yang dikeluarkan ke atasnya. 


"Selesai makan malam, saya dan pemandu peribadi terus bergerak pulang ke pejabat saya di Sungai Buloh. Kebetulan pemandu peribadi saya tidak larat, jadi saya pandu kereta sendiri namun ditahan polis kira-kira jam 11 malam semasa melalui satu sekatan jalan raya di ibu kota. 


"Hasil pemeriksaan, polis mendapati saya tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi. Jadi saya terima (saman) kerana mereka (polis) hanya menjalankan tugas. Lagipun memang betul saya bersalah," katanya. 


Meskipun mengakui kesalahan diri, Haqiem meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menularkan gambar notis saman yang diterima tertera butiran peribadinya. 


"Hairan juga siapa yang curi-curi ambil gambar, kerana hanya saya, pemandu peribadi dan anggota bertugas sahaja yang ada pada ketika itu. Gambar itu agak jelas kerana diambil dari jarak dekat dan notis saman ditularkan juga tertera nama serta alamat penuh tempat ibu bapa saya menetap. 


"Bagi saya, gambar dan butiran peribadi saya tidak sepatutnya dihebahkan kepada umum kerana ia membabitkan privasi dan ditularkan tanpa persetujuan saya. 


"Lagipun saya pernah menerima ugutan sebelum ini, jadi bimbang sekiranya perkara tidak diingini (berlaku) kepada orang tua apabila alamat rumah ditularkan," katanya. 


Jelas Haqiem lagi, adik beradiknya hanya mengetahui perkara itu dan memberi teguran kepadanya. Haqiem juga tidak terganggu dari segi mental selepas gambar notis saman itu tular di media sosial kerana kebanyakan mesej di telefon bimbit disemak oleh pembantunya. 


"Setakat ini saya boleh hadap lagi situasi dan cuba mencari masa untuk mengambil lesen memandu kereta nanti. Buat masa ini saya tangguhkan dahulu (ambil lesen memandu) kerana masih menggunakan khidmat pemandu peribadi untuk ke mana-mana," katanya. 


Mengulas mengenai gelaran Ikon Permotoran yang diberi oleh Mat Jargon, Haqiem mengakui dia dia sudah beberapa kali menjelaskan bahawa gelaran itu bukan didapat secara rasmi tetapi malangnya orang ramai masih tidak faham. 


"Banyak kali sudah saya beritahu yang gelaran itu bukan dapat secara rasmi tetapi orang tak faham. Apa boleh buat, cuma saya berharap netizen dapatkan berita betul sebelum percaya bulat-bulat kerana kesilapan penyampaian cerita boleh merosakkan reputasi seseorang," katanya. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo