Slider

Pembantu Penguatkuasa JPJ kantoi makan rasuah secara bulanan RM8,500 untuk lindungi syarikat pengangkutan lori



Seorang Pembantu Penguat kuasa Kanan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer keroh atas 12 pertuduhan menerima rasuah secara bulanan sebanyak RM8,500. 


Tertuduh, Ahmad Jamil Md Saru, 40, didakwa menerima rasuah itu bagi melindungi syarikat pengangkutan lori daripada dikenakan tindakan undang-undang antara April 2020 hingga Mac 2021. 


Tertuduh bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan. 


Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-10, tertuduh didakwa menerima suapan bulanan RM500 tanpa balasan daripada Syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise dengan mengetahui syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya. 


Semua kesalahan itu dilakukan di Maybank Merlimau, pada 28 April, 9 Jun, 9 Julai, 17 Ogos, 11 Oktober, 12 November dan 15 Disember 2020, serta pada 11 Januari, 15 Februari dan 13 Mac 2021. 


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan. 


Bagi dua lagi pertuduhan di bawah  Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, tertuduh didakwa menerima rasuah berjumlah RM3,500 melalui pindahan wang antara 28 April 2020 hingga 12 November 2020 dan antara 11 Januari hingga 12 Mac 2021 di Maybank Cawangan Melaka Raya sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori syarikat yang sama mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


Jika sabit kesalahan, tertuduh booleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat yang mencadangkan jaminan RM4,500 bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan di mana tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan dan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah. 


Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana dia perlu menanggung isteri dan dua anaknya yang salah seorang anaknya merupakan orang kurang upaya (OKU). 


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan memerintahnya melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM sehingga perbicaraan selesai. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo