Slider

Penunggang motosikal kelima terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu meninggal dunia

Foto Harian Metro



Seorang lagi penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada Ahad lalu dilaporkan meninggal dunia pada jam 2.15 petang hari ini. 


Mangsa kelima, Mohd Haziq Harris, 34, meninggal dunia semasa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP). 


Adik mangsa, Siti Hadilah Harris, 30, berkata, dia sebelum itu ada bermimpi tentang abangnya yang menaiki tangga sehingga ke atas yang dikatakan mungkin petanda abangnya mahu pergi buat selama-lamanya. 


"Semalam saya dan ayah doakan jika dia mahu 'pergi', pergilah dengan tenang dan kami reda jika itu takdirnya. Selepas itu saya bermimpi abang naik tangga hingga ke atas, mungkin itulah petanda bahawa dia mahu meninggalkan kami," katanya. 


Menurut Siti Hadilah, abangnya seorang pendiam dan tidak banyak bercakap serta amat manja dengan bapanya. Jika sebelum ini dia tidak begitu rapat dengan Mohd Haziq sehinggalah kebelakangan ini abangnya menunjukkan sikap penyayang. 


"Dulu dia hanya buat hal sendiri. Namun kebelakangan ini, kami menjadi rapat dan dialah tempat saya mengadu semua masalah atau jika ingin bercerita.


"Kami sekeluarga selalu menasihati dia supaya berhati-hati ketika menunggang motosikal. Tetapi tidak menyangka nyawanya melayang dalam insiden itu," katanya memetik laporan dari Harian Metro, Selasa, 19 Julai 2022. 


Sementara itu bapa mangsa, Harris Shariff, 71, berkata, dia sebelum itu ada menasihati anaknya untuk tidak keluar bersama rakannya pada malam minggu berkenaan dan kali terakhir dia bertemu dengan anak ketiganya itu pada jam 11.30 malam. 


Mohd Haziq kemudian keluar dari rumah menaiki motosikal milik abangnya dan sempat memberitahu mahu keluar seketika sahaja. 


"Memang hancur hati saya apabila mengetahui dia terbabit kemalangan dan cincin yang dibeli kepada saya beberapa bulan lalu akan menjadi kenangan. Jika sudah ajal, cepat atau lambat tiada sesiapa pun yang mampu menghalangnya," katanya. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo