Slider

Perlekeh bangsa Melayu, Timbalan Menteri Persekutuan gesa owner Crackhouse Comedy Club disiasat, tutup premis jika perlu

Foto The Sun



Sebuah kelab di Kuala Lumpur yang digantung sementara operasinya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 10 Julai lalu didapati tidak mempunyai lesen hiburan selaras dengan Seksyen 17 Akta Hiburan 1992.


Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pemilik premis itu hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi tiada lesen hiburan.


Beliau berkata, setiap premis yang menjalankan perniagaan restoran dan operasi berbentuk hiburan perlu memiliki dua lesen iaitu lesen restoran dan hiburan.


"Pemilik kelab memohon lesen hiburan tetapi tidak diluluskan kerana dalam lesen hiburan terdapat beberapa syarat tertentu dikenakan sebagai contoh laporan bomba, syarat aktiviti hiburan yang hendak diadakan, kita tidak boleh beri persetujuan menyeluruh kepada setiap hiburan.


"Pihak kementerian tidak berkompromi terhadap penyalahgunaan lesen. Premis ini tidak mempunyai lesen hiburan, maka DBKL mengambil tindakan menggantung sementara operasi premis dan restoran ini kerana menyalahgunakan lesen diberikan," katanya.


Beliau berkata kepada pemberita pada program korban bersempena Aidiladha bersama rakyat Parlimen Jelebu dan agensi kerajaan di Simpang Pertang di sini hari ini.


Jalaluddin berkata, pemilik premis diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan sebelum jawatankuasa pelesenan DBKL akan bersidang, meneliti serta menyiasat perkara itu dan penggantungan lesen itu boleh dilakukan hingga tempoh maksimum 30 hari sehingga keputusan dibuat.


Menurutnya, DBKL tidak berkompromi dalam perkara membabitkan isu sensitif seperti agama, kaum dan bangsa di negara ini.


Sementara itu, Jalaluddin berkata, pihaknya turut menerima laporan berkaitan seorang individu yang didakwa sebagai pemilik premis itu yang mempermain serta memperlekehkan bangsa Melayu menerusi video tular persembahan di premis itu.


"Saya sudah meminta pihak penguat kuasa supaya melakukan siasatan terperinci mengenai perkara ini, sekiranya benar, ia menyalahi syarat lesen yang dikeluarkan, tidak mustahil pihak penguat kuasa pelesenan DBKL mengambil tindakan lebih tegas yang boleh membawa kepada penutupan kelab," katanya.


Beliau meminta masyarakat supaya bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.


Jalaluddin berkata, mengikut rekod, premis itu sudah beroperasi tanpa lesen sejak 2014 hingga 2017 bagaimanapun lesen diluluskan pada 2018 dan masih sah sehingga kini iaitu untuk operasi restoran dan minuman keras.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo