Slider

'Polis dah ronda, tapi mat rempit kembali berlumba tak takut hilang nyawa atau cacat anggota badan' - Saksi

Foto TVS



Dalam perkembangan terkini kes tiga penunggang motosikal yang maut di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, saksi kejadian menjelaskan pasukan polis peronda terdahulu datang ke lokasi untuk membuat rondaan. 


"Sebelum kejadian, memang sudah ada pasukan polis peronda di laluan itu dan aktiviti rempit kemudian sudah bersurai. Namun tidak lama kemudian, mereka kembali berkumpul dan jumlahnya semakin ramai," kata saksi. 


Dalam kejadian jam 4.40 pagi tadi, tiga penunggang motosikal maut, manakala tiga lagi mengalami kecederaan parah dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan lanjut. 


Menurut saksi, Nazla, 37, yang ditemui wartawan Harian Metro berkata, lokasi itu selalu menjadi 'port' aktiviti rempit terutamanya pada malam hujung minggu. 


"Saya bersama keluarga dari Permatang Pauh menuju ke Georgetown untuk bersiar-siar menikmati pemandangan laut dan bandar raya pada malam hujung minggu. Sepanjang melalui lebuh raya berkenaan, memang terdapat polis melakukan rondaan dan seketika kemudian laluan mula lancar. 


"Ketika pulang pada awal pagi, didapati aktiviti berkenaan berlaku semula dan jumlah penunggang motosikal juga semakin ramai," katanya. 


Nazla kemudian memandu perlahan di laluan itu kerana bimbang dengan keselamatan keluarganya terutama anaknya yang takut mendengar deruman bunyi enjin motosikal mat rempit. 


"Mereka memang tidak takut kehilangan nyawa atau cacat anggota badan jika terbabit kemalangan dan tidak fikir nyawa pengguna lain juga akan melayang akibat aktiviti sia-sia itu," katanya yang turut menafikan dakwaan kononnya pihak polis tidak melakukan rondaan di lebuh raya berkenaan. 


Nazla juga berharap pihak berkuasa memperketatkan undang-undang bagi membanteras aktiviti rempit memandangkan golongan terbabit sudah berkali-kali diberi nasihat, namun tidak diendahkan. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo