Slider

Rogol anak kandung di kebun & rumah, pengait kelapa sawit dipenjara 50 tahun, 8 sebatan

Foto Harian Metro



Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini menjatuhkan hukuman penjara 50 tahun dan lapan sebatan terhadap seorang lelaki yang didapati bersalah atas empat pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya pada Oktober 2021 dan Januari 2022. 


Sebaik saja tertuduh membuat pengakuan bersalah, Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan rogol dan penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan amang seksual fizikal. 


Tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara bagi kesalahan merogol secara berasingan dan untuk amang seksual bermula serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Mac lalu. 


Selain itu, tertuduh turut diperintah menjalani kaunseling pemulihan ketika menjalani hukuman dalam penjara. 


Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja mengait kelapa sawit didakwa merogol anak perempuannya berusia 15 tahun di mana hubungan itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat, kebiasaan yang terpakai untuknya berkahwin. 


Tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di kebun kelapa sawit di Jasin pada 20 Januari lalu, jam 9 malam dan didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan. 


Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa bagi tujuan seksual pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017, dibacakan bersama Seksyen 16 (1) Akta sama. 


Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi kesalahan Seksyen 14 (a) AKSTKK 2017, manakala Seksyen 16 (1) akta sama membawa kepada hukuman penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan. 


Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya itu di sebuah rumah pada 18 Oktober 2021, jam 8.30 pagi.


Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim meminta mahkamah mengenakan hukuman berat dan setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan keadilan kepada mangsa. 


"Perbuatan tertuduh merogol anak kandungnya amat terkutuk dan berdasarkan keterangan impak mangsa jelas menunjukkan kesan besar terhadapnya. 


"Sebab itu, pendakwaan menghujahkan hukuman berat berbentuk pengajaran terhadap tertuduh sebagai mesej mahkamah memandang serius kesalahan sebegini," katanya. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo