Slider

'Salahkah orang PAS tengok filem Mat Kilau?'



Saya tak terperanjat Pemuda PAS tengok filem “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” di pawagam di Kuala Lumpur. Sebab orang politik Melayu suka berkait atau dikaitkan dengan apa apa yang berunsur kemelayuan yang boleh dimanfaatkan untuk mengambil hati (baca mendapat sokongan) orang Melayu (baca pengundi Melayu).


Dan filem Mat Kilau sememangnya ada banyak elemen kemelayuan yang dikatakan membakar dan membangkitkan semangat orang Melayu. Sehingga ada pemuda Melayu (dan yang tidak beberapa muda) datang ke pawagam berbaju Melayu lengkap dengan sampin, capal dan pastinya tanjak. Oleh itu, Pemuda PAS pun datang menonton (tetapi tidaklah sampai bertanjak untuk menggantikan kopiah).


Salahkah mereka berbuat demikian? (maksud saya menonton filem itu, bukan kerana terus memakai kopiah dan bukan tanjak). Tentu tidak.


Sebenarnya, awal lagi (lebih tepat 18 Mei lalu) PAS sudah mempromosikan filem Mat Kilau yang mengisahkan penentangan pahlawan Pahang itu terhadap penjajah Inggeris. Promosi melalui platform media sosial PAS.


Promosi berbunyi: “Akan bermula ditayangkan pada 23 Jun 2022 di seluruh pawagam. Sudahkah anda bersedia?”. Sekali lagi ditanya: Salah ke PAS berbuat demikian? Sekali lagi jawapannya tidak.


Cuma apabila Pemuda Amanah Kelantan menempelak PAS berhubung ajakan mereka supaya orang ramai menonton filem itu, reaksi mereka (yakni sayap Pemudanya) mengundang pelbagai persoalan dan pertanyaan. Itu pada hemat sayalah.


Begini. Hazmi Hassan ketua Pemuda Amanah Kelantan menuduh PAS “seperti keliru dan hilang punca kerana mereka dulu mengharamkan pembukaan pawagam di Kelantan”. Dan sekarang dengan “tidak semena-mena” mengajak orang ramai menonton filem di pawagam.


Muncul Pemuda PAS membuka langkah mempertahankan parti. Kata mereka “sekiranya filem yang ditayang itu mempunyai barisan pelakon yang menutup aurat, dan penonton yang menjaga batas serta jalan cerita tidak menjurus kepada maksiat ia tidak dianggap haram”.


Diakui ada penonton yang “tidak menjaga batas” dalam pawagam. Orang Melayu Islam dan orang bukan Melayu bukan Islam.


Diakui ada filem yang ditayang di Malaysia menampilkan pelakon tidak tutup aurat. Tetapi nak tanya sikit ye: Adakah filem-filem yang ditayang di pawagam di seluruh negara ini “menjurus kepada maksiat?”.


Tidakkah Pemuda PAS tahu akan wujudnya Lembaga Penapis Filem yang ditubuhkan bawah Seksyen 4 Akta Filem (Penapisan) 1952 (disemak tahun 1971 dan 2002) bertujuan “menjaga keselamatan negara dan keharmonian kaum serta melindungi kepentingan negara dan rakyat daripada pengaruh buruk dan unsur unsur negatif yang mungkin dipaparkan dalam sesetengah filem sejajar dengan tuntutan prinsip prinsip Rukun Negara”.


Dengan singkatan LPF, lembaga ini turut dianggotai orang Melayu Islam yang “tegas” menguatkuasakan perundangan yang sememangnya sedia tegas dan keras.


Diakui soal filem “menjurus kepada maksiat” agak subjektif. PAS ada interpretasinya sendiri mengenai apa itu filem “menjurus kepada maksiat”. Oleh itu, jika ada rasa tidak puas hati sila ajukan kepada lembaga berkenaan atau Kementerian Dalam Negeri yang mengawal selia lembaga itu. Bukankah PAS sekarang duduk dalam kerajaan pusat?


Pemuda PAS juga berkata: “Kita tak setuju panggung wayang dibuka dekat Kelantan, selagi panggung wayang itu tak selesaikan bab-bab yang kita sebut tadi, bab yang bawa kepada haram tengok wayang”.


Tanya sikit lagi: Filem Mat Kilau jelas menepati “bab-bab” yang Pemuda PAS gariskan tadi. Jika tidak tepati takkan Pemuda PAS pergi menontonnya – betul tak? Oleh itu, bolehkah filem Mat Kilau (dan filem “bersih” sepertinya) ditayang di Kelantan? Atau dilihat pada satu lagi sudut – bolehkah pawagam dibuka di Kelantan khas untuk filem seumpama itu? Filem “bersih”.


Dan apabila Pemuda PAS mengatakan “selagi panggung wayang tak selesaikan bab-bab yang bawa kepada haram tengok wayang” adakah bermaksud pihak yang berhasrat membuka pawagam di Kelantan (jika ada) dianggap tidak upaya melaksanakan “bab-bab” yang PAS mahu?


Adakah mereka pernah diberi peluang membuktikan kemampuan mereka? Sekurang-kurangnya peluang untuk mengemukakan cadangan dan rancangan mereka?


Berkata lagi Pemuda PAS: “Kalau panggung wayang tu boleh asingkan tempat duduk lelaki perempuan, boleh set tiada tayangan semasa waktu solat, boleh pastikan cerita yang ditayang betul-betul patuh syariah, tak ada masalah kita setuju”.


Tanya lagi sikit: Tidak adakah mana-mana pihak yang boleh laksanakan itu semua di Kelantan? Pernahkah pihak berkenaan tampil menawarkan pelan dan berbincang? Atau adakah pintu perbincangan ditutup rapat di Kelantan? Tanpa boleh dibuka lagi? Semua ini ditanya kerana di Kelantan masih tidak ada pawagam. Sehingga masa ini.


Pemuda PAS bercakap pula mengenai keadaan di Terengganu (yang seperti Kelantan juga diperintah PAS). “Tengok Terengganu. Ada je panggung wayang. Dekat sana semua panggung wayang diasingkan tempat duduk lelaki, perempuan, keluarga. Dekat sana tiada cerita ditayangkan semasa waktu solat. Ada Pemuda PAS bantah? Kita raikan lagi”.


Syabas. Tetapi tanya lagi ye…Mengapa tidak diwujudkan pawagam seperti itu di Kelantan? Mengapa Terengganu boleh Kelantan tidak? Takkan Terengganu anak emas Kelantan anak tiri? Padahal PAS memerintah Kelantan lebih lama berbanding Terengganu. (bermakna PAS lebih kuat di Kelantan daripada di Terengganu). Harap bukan sebab presiden PAS orang Terengganu maka ia “diberi layanan istimewa”.


Pemuda PAS turut menjelaskan mereka membeli 20 tiket untuk menonton filem Mat Kilau di pawagam di Kuala Lumpur. Kena tanya lagi ye. Sikit je. Adakah pawagam di Kuala Lumpur menepati ciri yang ditetapkan PAS? Maksudnya adakah pawagam ibu negara tidak tayang filem pada waktu solat ? Adakah pawagam di Kuala Lumpur mempunyai tempat duduk khas untuk lelaki, perempuan dan keluarga? Adakah penonton lelaki diasingkan tempat duduk daripada tempat duduk perempuan?


“Kami beli 20 ‘seat’. Semua lelaki. Tak ada siapa duduk sebelah perempuan,” kata Pemuda PAS. Ertinya buat tempahan secara blok – ‘block booking’. Dua puluh orang duduk sederet. Semua lelaki.


Yang nak tanya siapa duduk di tempat duduk nombor 21? Lelaki ke perempuan? Mesti bukan orang PAS kerana Pemuda PAS tempah 20 tiket saja. Bagaimana pula deret tempat duduk di belakang? Dan di depan? Filem Mat Kilau filem ‘box office’. Mesti pawagam padat dengan penonton.


Pasti yang duduk di situ penonton lain (yang bukan group Pemuda PAS) lelaki dan juga perempuan? Boleh ke duduk depan dan juga membelakangi penonton perempuan? Ok ke berada dalam dewan sama dengan perempuan? Walaupun tidak duduk bersebelahan?


Dan jika tempahan blok seumpama itu dilakukan di Kuala Lumpur boleh ke dibuat di panggung wayang di Terengganu? Beli tiket untuk duduk sederet – semua lelaki atau semua perempuan. Maka tidak perlulah pawagam di Terengganu mengasingkan tempat duduk untuk penonton lelaki dengan perempuan. Begitu? Maaf sekadar tanya.


Untuk orang Kelantan terpaksalah pergi ke negeri lain untuk tengok aksi Mat Kilau lawan Inggeris.


Cukup sampai di sini. Saya dah lewat nak pergi tengok wayang. Bukan filem “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan”. Nak tengok “Split Gravy on Rice”. Filem tempatan juga. “Ke mana tumpahnya kuah” judulnya dalam bahasa Melayu. Tetapi rasanya orang PAS kurang minat filem seperti ini.


Sumber: Free Malaysia Today

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo