Slider

''Saya dah tangkap lebih 5,000 ular' - Raja Ular Kelantan akui pernah dipatuk ular berbisa 3,000 kali



Raja Ular Kelantan atau Mohd Hamdan Mahadi, 37, dalam temubualnya bersama Harian Metro mendedahkan, dirinya pernah dipatuk ular berbisa lebih dari 3,000 kali. 


Mohd Hamdan berkata, walaupun dia menangkap ular secara sukarela, aspek keselamatan sentiasa diutamakan bagi mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini terutamanya patukan ular yang boleh membunuh mangsa sekiranya terlambat mendapatkan rawatan. 


"Sepanjang 25 tahun berkhidmat sebagai penangkap ular, selain kerap berhadapan dengan pelbagai spesis ular berbisa, hanya beberapa kali sahaja saya ditahan dalam wad bagi membuang bisa patukan ular. 


"Saya tidak mempunyai ilmu formal atau menghadiri kursus menangkap ular, namun kepakaran menangani haiwan ini datang dengan sendiri. 


"Saya menggunakan kemahiran dimiliki, bukan untuk pertunjukkan tetapi khusus bagi menjalankan tugas dan kebolehan itu perlu digunakan sebaik mungkin demi membantu masyarakat," katanya. 


Menurut laporan Harian Metro, bapa kepada empat anak itu mula berkecimpung dalam bidang menangkap ular sejak berusia sembilan tahun. 


Mohd Hamdan juga pernah menangkap ular yang memasuki rumah penduduk dan disebabkan kepakarannya itu, dia menyediakan perkhidmatan menangkap ular secara sukarela bukan hanya di Kelantan, malah di Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor. 


Untuk rekod, dia telah menangkap lebih dari 5,000 pelbagai jenis ular berbisa dan ular yang paling besar serta berbahaya pernah ditangkapnya adalah ular tedung selar sepanjang lebih lima meter. 


Di masa lain, Mohd Hamdan juga akif membuat pertunjukkan di beberapa negara seperti India, Thailand dan Singapura atas jemputan pihak tertentu. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo