Slider

'Saya tak ajar pelajar merempit, hanya kongsi pernah gagal & mahu bina hidup baru' - Haqiem Stopa



Awal Julai lalu, TikTokers Haqiem Stopa dikecam hebat di media sosial susulan penampilannya sebagai penceramah motivasi di sebuah sekolah menengah. 


Bukan sahaja kredibilitinya sebagai penceramah dipertikaikan, malah netizen turut menyelar pihak penganjur dan sekolah kerana menjemput orang yang salah untuk berkongsi pengalaman hidup dengan para pelajar. Sedangkan di luar sana ada lebih ramai individu yang lebih layak dari Haqiem Stopa. 


Namun, kritikan, kecaman caci maki itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang meneruskan kehidupan dan menjalankan perniagaan berkaitan motosikal yang diminatinya selama ini. 


Dalam temubual bersama Free Malaysia Today, Haqiem Stopa menjelaskan pada hari dia dijemput ke SMK Sungai Besi, dia langsung tidak mengajak para pelajar menjadi mat rempit. Sebaliknya dia hanya berkongsi rasa sesal terhadap kehidupannya sebelum ini dan mahukan peluang kedua untuk membina kehidupan baharu. 


"Ia hanya perkongsian daripada seorang yang kena buli siber sangat teruk dan pengalaman seorang pernah gagal dan dahagakan peluang kedua. 


"Dalam ceramah itu ada pelajar apa pesanan saya kepada mereka yang terpesona dengan gaya hidup 'mat rempit'. Saya kata pada mereka, andai boleh ditukar (masa), saya nak (kembali ke zaman) sekolah. Saya tak nak kehidupan macam sekarang sebab saya sakit sangat.


"Saya sedar masyarakat masih curiga terhadap saya. Harta dunia dan populariti tidak mampu membeli rasa hormat orang ramai. Awak nak tak (jadi macam saya)? Kaki patah, popular, tapi kena kecam walaupun ada duit," katanya. 


Difahamkan, Haqiem Stopa pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya dua tahun lalu, yang menyebabkan salah satu kakinya sudah tidak berfungsi dengan baik. 


"Insya-Allah saya cuba untuk sembuhkan, tetapi perlukan kos tinggi dan masa untuk sembuh agak lama," katanya. 


Menggulas mengenai gelaran ikon permotoran yang diberi oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal, Haqiem Stopa berkata gelaran itu sekadar gurauan sahaja dan netizen tidak sepatutnya mengambil serius mengenai perkara itu. 


"Saya sedar siapa diri saya dan tidak meminta untuk dipuji sebegitu rupa. Saya tidak pernah memakai atau menjaja gelaran itu. Memang ikon permotoran selayaknya adalah orang yang berbakti kepada negara, bukanlah saya. 


"Mungkin Wan Ahmad Fayhsal hanya sekadar bergurau. Orang lain mengambil perkara itu terlalu serius. Di Facebook, semua orang ambil serius sampai orang tertanya-tanya kenapa dia, kenapa dia? Sedangkan saya pun memang tidak layak. 


"Tanpa gelaran itu pun, saya tetap bekerja seperti biasa. Benda itu sekadar bualan saja. Kita tak boleh buat apa, orang ulang-ulang ikon permotoran, ikon permotoran tak habis-habis," katanya. 


Sebelum ini, Haqiem Stopa pernah dicabar oleh Affendi Rosli, pemenang Kejuaran Motosikal Asia (ARRC) untuk berlumba di litar. Tetapi Haqiem Stopa terpaksa menolak kerana dia mengalami masalah kesihatan dan perlumbaan bukanlah bidangnya. 


"Itu bukan bidang saya, dia pelumba negara dan saya sekadar minta motor dan berniaga. 


"Kalau saya pergi berlumba, dah tentu saya kalah. Tapi kalau kita tukar, dia tak semestinya boleh berniaga. Kita dah jawab yang kita tak layak pun untuk berlumba dengan mereka dan tiada keuntungan apa-apa untuk kita berlumba," ujarnya. 


Sumber: Free Malaysia Today

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo