Slider

'Tokey kantin nak cepat kaya ni' - Netizen terkejut tengok portion makanan RMT sekolah di Pahang



Tular di media sosial gambar menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sebuah sekolah rendah di Pahang, mencetuskan pelbagai reaksi netizen kerana saiz hidangan yang diberi dianggap terlalu sedikit. 


Terdahulu, Editor Astro Awani, Izwar, memuat naik gambar tersebut di Twitter awal pagi hari ini dan turut dikaitkan pada nama Menteri Pendidikan, Radzi Jidin. 


"RMT Menu 6 Julai 2022 di salah sebuah sekolah rendah di Pahang. Secara spesifik, (sekolah) berdekatan dengan landasan kereta api yang sangat 'rapuh' (yang faham, faham. yang tak faham, buat-buat faham). Harga naik kot," tulisnya. 



Walau bagaimanapun, Izwar juga menjelaskan bahawa Guru Besar sekolah terbabit dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) sebelum ini pernah memberi amaran kepada pengusaha kantin itu, tetapi tiada sebarang perubahan yang dilakukan. 


Sementara itu, netizen berpendapat saiz hidangan RMT dalam gambar tersebut adalah tidak cukup untuk mengenyangkan murid yang saban hari memerlukan tenaga mencukupi ketika berada di sekolah. 


RMT diwujudkan sebagai bantuan kepada murid sekolah rendah dari golongan berpendapatan rendah terutamanya di luar bandar. Kadar dan peruntukan bagi seorang murid di Semenanjung adalah RM2.50 dan RM3.00 bagi murid Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. 


Namun, kadar tersebut dianggap tidak lagi relevan dan netizen menggesa pihak Kementerian Pendidikan (KPM) menaikkan kadar tersebut kepada RM4 untuk seorang murid. 


"Untuk RMT, pihak KPM dah boleh naik harga kot RM3.50 atau RM4 seorang murid. Masa zaman saya dulu (2015-2017), RM2.50/seorang, tak cukup," kata Fadzliaton Aris. 


"Saya rasa harga yang patut adalah RM5/seorang murid. Itu sebabnya kita mesti berjuang #PotongGajiMenteri, agar lebih banyak peruntukan dapat disalurkan kepada RMT," kata Mischa. 


"Banyak sangat mi tu, patut seorang sehelai mi cukuplah. Budak-budak je kan," kata Izntagram dalam nada perli. 


"Tokey kantin nak cepat kaya, alasan barang mahal. Beri makanan pada anak bangsa pun berkira. Nak untung makan sendiri," kata Remy. 


"Menteri kalau hadap makanan sebegini, mau diamuk seminggu, diterbalikkan meja ni," kata Blast Beat Manifesto. 


Sumber: Twitter Izwar

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo