Slider

Usahawan hartanah terkenal tampil bantu suri rumah dipenjara 14 bulan kerana curi 2 peket milo



Selasa lalu, Mahkamah Majistret Marang menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan terhadap Suhaini Mohd, 43, selepas didapati bersalah mencuri dua peket milio di sebuah pasar raya. 


Kes itu menarik perhatian usahawan hartanah terkenal, Muhmammad Azlan Al-Amin yang kemudina mendapatkan khidmat peguam untuk memohon menangguhkan hukuman ke atas Suhaini yang dikemukakan secara online kepada Mahkamah Majistret Marang, semalam. 


"Kami bersepakat untuk membantu tertuduh atas dasar kemanusiaan walaupun dia mempunyai rekod jenayah lampau dan penagih dadah. Bagaimanapun, tertuduh tetap seorang ibu kepada empat anak," kata peguamnya, Datuk Naran Singh, memetik laporan dari Utusan Online, Khamis. 


Suhaini yang juga suri rumah dihukum penjara 14 bulan atas kesalahan mencuri dan kini ditempatkan di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. 


Naran berkata, permohonan rayuan penangguhan hukuman dan jaminan tersebut akan didengarkan di Mahkamah Majistret Marang pada 13 Julai depan dan ketika itu pihaknya akan memohon tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan agar dia boleh kembali ke pangkuan keluarga sehingga proses rayuan hukuman di mahkamah tinggi selesai. 


"Saya tidak tahu apa yang berlaku di mahkamah pada hari kejadian sama ada tertuduh faham apa dibacakan pada dia, sama ada kertas-kertas itu semua dalam keadaan teratur. 


"Selain itu, semasa dia membuat pengakuan, adakah dia faham apa yang berlaku terhadapnya sekiranya dia membuat pengakuan bersalah. Jadi, itu semua patut kita teliti dan kita akan tengok bagaimana nanti," katanya. 


Sumber: Harian Metro, Utusan Online

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo