Slider

(Video) 4 maut, ambulans terbabas rempuh tol sampai pesakit tercampak keluar



Tular di media sosial baru-baru ini video menunjukkan sebuah ambulans merempuh tol yang mengakibatkan pesakit tercampak keluar dan pekerja tol yang tidak sempat melarikan diri turut menjadi mangsa. 


Lapor media tempatan, empat individu termasuk pesakit maut dalam kemalangan yang berlaku di Karnataka Uttara Kannada di Bhatkal.


Terdahulu, pesakit, Gajanan Ganapathi Naik, 45, mengalami serangan jantung dan dibawa ke hospital swasta yang berada 15 kilometer dari rumahnya. Doktor di hospital itu kemudian merujuk Gajanan ke hospital lain di Dakshina Kannada untuk rawatan lanjut. 


Tugas menghantar Gajanan diamanahkan kepada pemandu ambulans, Roshan. Memandangkan keadaan pesakit memerlukan rawatan segera, Roshan memandu ambulans melebihi had laju yang ditetapkan sebelum hilang kawalan dan melanggar lubang lalu merempuh pondok tol. 


Impak dari kemalangan itu menyebabkan pintu belakang terbuka membuatkan pesakit dan isterinya serta petugas ambulans tercampak keluar. 



Berdasarkan video tular, tiga pekerja tol terdahulu mengalihkan penghadang jalan (barricade) bagi memberi laluan kepada ambulans tersebut. 


Pihak berkuasa mengesahkan, empat mangsa termasuk pesakit dan isterinya maut dalam kejadian itu, manakala empat lagi termasuk dua pekerja tol mengalami kecederaan parah. 


"Tiga mangsa maut serta-merta di kawasan kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Ambulans terbabit hilang kawalan apabila hampir tiba di plaza tol," kata pihak berkuasa. 


Sumber: New India Express

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo