Slider

(Video) 'Projek Ladang durian musang king punca banjir di Baling' - Penduduk



Hujan lebat berterusan selama tiga jam sejak jam 2 petang semalam telah menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk di Baling. 


Media melaporkan, setakat ini bencana banjir yang berlaku membabitkan sembilan buah kampung antaranya Kampung Iboi, Kampung Tanjung Luas di Mukim Kupang, Kampung Sedim dan Kampung Jernang di Mukim Bakai. 


"Air naik terlalu cepat hingga lebih satu meter. Saya dan kedua ibu bapa bersama jiran terpaksa naik ke bukit di belakang rumah untuk menyelamatkan diri," kata Adam Mokhtar, 20, dari Kampung Iboi. 


Menurut Adam, kejadian banjir yang berlaku ini dianggap paling terburuk di mana banyak kerosakan berlaku di mana kepala air turut menghanyutkan kayu. 


"Jambatan di sungai berhampiran rumah juga musnah, semua orang panik melihat kepala air. Kami hanya fikir untuk selamatkan diri," katanya. 


Johari Abdul Latif, 50, dari Kampung Telok Durian, Kupang berkata, hujan lebat kali ini luar biasa menyebabkan air sungai melimpah terlalu cepat. 


"Sepanjang hidup saya, ini kejadian banjir paling buruk pernah berlaku kerana air sungai naik terlalu cepat. Keadaan itu menyebabkan ramai penduduk tidak dapat berbuat apa-apa, malah ada yang masih terkejut lagi. 


"Selain lumpur, banyak pokok kayu turut dihanyutkan mungkin turun dari bukit berdekatan Lata Celak," katanya. 


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, seramai 334 mangsa banjir dari sembilan kampung telah dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara setakat jam 2 pagi tadi. 


Beliau berkata, ramai mangsa meminta kebenaran untuk pulang ke rumah berikutan air sudah surut, bagi membersihkan rumah dan melihat harta benda mereka. Namun, pihaknya perlu membuat penilaian dari segi keselamatan terlebih dahulu sebelum membenarkan mangsa pulang ke rumah masing-masing. 


Ramalan kaji cuaca juga menunjukkan akan berlaku hujan di kawasan itu pada hari ini. Polis akan berbincang dengan beberapa pihak berkaitan dalam mesyuarakat Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri sebelum membuat keputusan. 


Di media sosial, tular video dan gambar kejadian banjir yang menimpa penduduk di Baling. Turut kelihatan sekumpulan lelaki membantu menyelamatkan wanita warga emas yang tidak berdaya menyelamatkan diri. 


Salah seorang mangsa banjir juga menangis melihat motosikal miliknya hanyut dalam banjir mengejut itu. 


"Ya Allah motor hanyut... motor hanyut... motor aku... Ya Allah," rintihnya. 









Dalam pada itu, penduduk juga tidak menolak kemungkinan bencana banjir yang berlaku disebabkan projek ladang durian yang diusahakan di Gunung Inas, Baling. Penduduk turut mempersoalkan, siapa yang meluluskan projek tersebut sehingga menyebabkan empangan yang dibina pihak berkenaan pecah dan sekali gus memusnahkan harta benda penduduk di sekitarnya. 



Sumber: Harian Metro, Facebook Netizen

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo