Slider

Yasin terlepas hukuman gantung, tetapi berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup

Foto Malaysia Now



Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini melepaskan tanpa membebaskan penyanyi nasyid, Muhammad Yasin Sulaiman, dari tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja, sekali gus terlepas daripada hukuman gantung. 


Yasin meluahkan rasa bersyukur dengan keputusan itu dan menganggap keputusan tersebut adalah satu perkembangan positif bagi dirinya. 


"Saya amat bersyukur dengan keputusan ini. Alhamdulillah, saya mengikut proses dan peruntukan undang-undang sedia ada. 


"Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada rakan dan keluarga yang banyak memberikan sokongan, merekalah sumber kekuatan utama saya," katanya memetik laporan dari Harian Metro. 


Sementara itu, keluarga Yasin turut memanjatkan rasa bersyukur dengan keputusan mahkamah itu meskipun Yasin tidak dapat beraya bersama mereka pada Aidiladha kelak. 


"Kami semua bersyukur dengan perkembangan kes ini walaupun Aidiladha ini kami tidak dapat beraya dengannya. Namun, Alhamdulillah kami lega dengan perkembangan kes dihadapi Yasin ini. 


"Saya harapkan rakan, teman akan terus mendoakan Yasin," katanya. 


Walaupun terlepas dari hukuman gantung, Yasin akan dituduh atas kesalahan memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo