Slider

2 lelaki rompak RM65 dari kedai serbaneka dipenjara 3 tahun, 1 sebatan



Tindakan dua rakan merompak wang tunai RM65 dari sebuah kedai serbaneka membawa padah apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.


Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Nazir Bahli, 36, dan Ahmad Shahmi Azmi, 31, kedua-duanya penghantar makanan, mengaku bersalah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.


Jika sabit kesalahan, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan..


Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 19 Ogos lalu.


Mereka didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, iaitu pekerja kedai itu, dengan mengambil wang tunai RM65 milik kedai tersebut, dalam kejadian di Taman Pertama, Cheras, di sini, pada jam 9.30 malam, 18 Ogos lalu.


Sementara itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan merompak membabitkan wang berjumlah RM324.15 di dua kedai sekitar Cheras antara 8.20 malam dan 8.30 malam pada tarikh sama.


Mahkamah kemudian menetapkan 26 September bagi tarikh jatuh hukum.


Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi dan Hamidah Mohamed Deril pula, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap tiga pekerja kedai serbaneka di sekitar Cheras antara jam 8.49 malam hingga 9.45 malam pada hari berkenaan.


Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan menetapkan 26 September dan 5 Oktober untuk sebutan semula kes.


Pendakwaan bagi kes-kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Azahan, Ngoh Jess Lynn dan Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwaklili peguam.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo