Slider

7 warga China masuk ke Malaysia tanpa dokumen sah, didakwa di mahkamah

Foto Noor Hidayah Tanzizi | Harian Metro

Tujuh warga China termasuk seorang wanita dipercayai masuk ke Malaysia tanpa dokumen bulan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini.


Tertuduh wanita, Dai Bao Xi, 54, dan lelaki, Guo Fei, 48, yang bekerja sebagai tukang masak, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Hafiizh Abu Bakar. 


Namun, Lin Zhi Chuang, 27; Guo Feng Jie, 29; Li Tao, 23; Zhang Zheng Long, 29, dan Chen Yuan Zhou, 28, membuat pengakuan tidak bersalah. 


Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa masuk dan berada di Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah dan menetap di sebuah apartment di Jalan Lumut sejak 25 Julai lalu. 


Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali dan sebat tidak melebihi enam kali sebatan jika sabit kesalahan. 


Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurjihan Jaya dan Timbalan Pendakwa Raya, R Rishan Kumar, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syafiq Salleh.


Majistret A Hafiizah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap Bao Xi dan RM5,000 dan satu sebatan terhadap Guo Fei. 


Beliau bagaimanapun membenarkan tertuduh Guo Fei memohon penangguhan perlaksanaan sebatan tersebut dengan memfailkan notis rayuan. 


Bao Xi dan Guo Fei kemudian membayar denda itu dan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia. 


Bagi lima lagi tertuduh, Mahkamah menetapkan 1 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. 


Sumber: Sinar Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo