Slider

Bilal paksa budak 12 tahun lakukan oral seks dalam surau ketika PKP, dipenjara 8 tahun, 2 sebatan



Mahkamah Sesyen Georgetown menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan terhadap seorang bilal surau kerana didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dalam kejadian dua tahun lalu. 


Mengikut pertuduhan, kejadian itu berlaku pada jam 6 petang 2 Mei 2020, di mana tertuduh, Akif Aiman Ab Shukor, 29, didakwa menyentuh kemaluan mangsa dan memaksanya melakukan oral seks di surau sebuah kawasan rumah pangsa. 


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 15(f) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. 


Difahamkan, perbuatan tertuduh dirakam oleh abang mangsa menggunakan telefon bimbit, semasa dia keluar mencari adiknya yang tidak pulang ke rumah. 


Abang mangsa kemudian ternampak lampu di surau flat berkenaan menyala, sedangkan ketika itu perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan dan rumah ibadat juga tidak dibenarkan beroperasi. 


Dia kemudian menghendap ke dalam surau dan ternampak tertuduh sedang melakukan perbuatan keji itu terhadap adiknya, lalu merakam video menggunakan telefon bimbit untuk dijadikan sebagai bukti. 


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar, manakala tertuduh diwakili peguam V Parthipan.


Farah Aimy meminta mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran berikutan semakin banyak kes jenayah seksual yang melibatkan mangsa kanak-kanak lelaki. 


Hakim Mazdi Abdul Hamid dalam keputusannya mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh. 


Sumber: Free Malaysia Today

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo