Slider

Crackhouse Comedy Club ditutup, pemiliknya disenarai hitam dari daftar lesen perniagaan seumur hidup



Jawatankuasa Perlesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan pemilik Crackhouse Comedy Club telah disenarai hitam seumur hidup dari mendaftarkan lesen perniagaan di mana-mana premis di Kuala Lumpur, lapor Berita Harian.


Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Jalaluddin Alias berkata, DBKL membuat keputusan itu selepas bermesyuarat pada 29 Julai lalu dan sekali gus membatalkan lesen perniagaan kelab komedi tersebut yang berkuat kuasa 30 Julai lalu. 


"Malah, kita juga mengambil keputusan untuk menyenarai hitam pemilik kelab ini untuk mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya.


"Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan," katanya.


Dalam pada itu, pihaknya juga sedang memantau beberapa kelab seumpama itu di sekitar Kuala Lumpur. 


"Sebarang lesen hiburan yang kita kemuka dan keluarkan kepada setiap premis mesti mengikut peraturan ditetapkan.


"Bagi pihak yang melanggar syarat pelesenan, maka mereka tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.


"Pada masa sama, tindakan, pemantauan serta pemeriksaan akan dilakukan secara berkala oleh DBKL kerana kita tidak mahu ada yang terlepas daripada tindakan kami," katanya.


Terdahulu, Crackhouse Comedy Club dikecam netizen susulan kes Siti Nuramira, menghina agama Islam secara terbuka. Malah, pengasas bersama, Rizal Van Geyzel juga didapati mempersendakan bangsa Melayu sehingga mengundang kemarahan masyarakat yang menuntut kelab komediri itu ditutup.

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo