Slider

'Dia tak sepatutnya mengeluarkan kata-kata kesat' - Pegawai Imigresen maki pelanggan ditukarkan ke bahagian lain



Beberapa hari lalu tular di media sosial video pegawai Jabatan Imigresen di kaunter Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seksyen 14 Shah Alam didakwa melemparkan kata-kata kesat terhadap pelanggan. 


Lapor Harian Metro, kejadian itu berlaku pada jam 8.30 malam 10 Ogos lalu berpunca dari pelanggan lelaki berusia 50 tahun itu mendakwa dia tidak mendapat layanan sewajarnya ketika mahu membuat pasport. 


Tidak berpuas hati dengan insiden itu, pengadu telah membuat laporan polis di Balai Polis Sri Muda. 


Menurut pengadu, dia bersama dengan anak-anaknya datang ke kaunter Imigresen di Kuala Selangor pada jam 3 petang sebelum dimaklumkan sistem tidak berfungsi. 


Mereka kemudian pergi ke kaunter Imigresen UTC Seksyen 14 Shah Alam ada jam 4.30 petang hari sama. Namun, mereka dimaklumkan bahawa sistem angka giliran sudah habis di mana hanya 200 nombor sahaja dikeluarkan sehari di kaunter Imigresen UTC itu. 


Pengadu kemudian meminta anggota bertugas meletakkan notis pemberitahuan secara rasmi berhubung penetapan itu dan tercetus pertikaian di kaunter tersebut sebelum pengadu hilang kawalan lalu menendang tiang besi di situ. 


Secara tiba-tiba, seorang pegawai wanita Imigresen yang berada di belakang kaunter menjerit, menghentak meja, memaki hamun dan memberi amaran tidak membenarkan pengadu dan keluarganya berurusan di kaunter Imigresen UTC pada masa akan datang. 




Ahad, 21 Ogos 2022, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, mengesahkan pegawai wanita terbabit telah ditukarkan ke bahagian lain. 


Dalam masa sama, kertas siasatan juga telah dibuka mengikut peraturan dan prosedur tatatertib penjawat awam oleh Bahagian Integriti. 


Siasatan awal mendapati, lelaki berusia 50 tahun itu menimbulkan provokasi terlebih dahulu. Namun, tindakan pegawai Imigresen terbabit yang membalas dengan jeritan, makian dan memberi amaran sedemikian adalah bertentangan dengan slogan jabatan iaitu Integriti, Profesional, Mesra. 


"Menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang awam adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang Pegawai Imigresen yang juga penjawat awam. 


"Pegawai Imigresen seharusnya bijak mengawal diri dan mengambil sikap profesional apabila berdepan dengan provokasi lisan oleh orang awam kerana mereka diberi latihan dan tunjuk ajar yang mencukupi," katanya.

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo