Slider

'Diorang gelakkan bila saya mengadu kentang goreng dah sejuk' - Pekerja McDonald's ditembak kerana mempersenda pelanggan



Seorang lelaki berusia 20 tahun didakwa menembak pekerja McDonald's hanya kerana kentang goreng sejuk dalam kejadian yang berlaku pada tahun 2020. 


Michael Morgan, 20, yang berdepan dengan pertuduhan cubaan membunuh dengan senjata api, juga berdepan dengan dakwaan membunuh kes berasingan pada tahun yang sama. 


Morgan sebelum ini pernah ditahan beberapa kali atas beberapa kes jenayah lain pada 2018 dan 2019. 


Menurut ibunya, Lisa Fulmore berkata, dia tidak tahu anaknya membawa senjata api pada hari kejadian. 


Fulmore mendakwa, anaknya hanya cuba mempertahankan diri dan pekerja McDonald's berkenaan masih dalam waktu bekerja ketika dia keluar dari restoran untuk mencari anaknya. 


Difahamkan, Fulmore, 40, membuat pesanan secara online sebelum datang mengambilnya di restoran tersebut. 


"Kentang goreng yang diberikan sudah sejuk, saya minta pekerja wanita menukar kentang goreng itu. Dia mengambil kentang goreng itu lalu pergi ke belakang kira-kira 10 saat sebelum kembali menyerahkan kentang itu semula. 


"Saya bertanya, kenapa dia berikan kentang goreng yang sama dengan hanya meletakkan beberapa batang kentang goreng baru di atasnya dengan harapan saya akan menyangka itu semua adalah kentang goreng yang baru? Lalu mereka semua mentertawakan saya. 


"Saya macam, apa yang kelakar sangat? Saya bayar untuk mendapatkan makanan dan saya patut dapat apa yang saya minta. Tetapi mereka masih ketawa. Apabila saya meminta untuk berjumpa dengan pengurus, mereka balas dengan gelak ketawa. 


"Masa tu saya sedang membuat panggilan telefon dengan anak saya, Morgan. Saya beritahu semua pekerja McDonald's ini mempersendakan saya. Lalu Morgan pun kata, dia akan datang segera. Tetapi saya tak benarkan sebab saya tak mahu dia terlibat dengan apa-apa masalah. 


"Malangnya, dia sudah sampai dan terdengar pekerja-pekerja McDonald's yang masih giat mempersendakan saya. Dia memberi amaran kepada mereka untuk berhenti memperlakukan saya sedemikian rupa dan mengajak salah seorang daripada pekerja McDonald's (mangsa) untuk keluar dari premis," katanya. 


Jelas Fulmore, mangsa, Matthew Webb, 23, bagaimanapun tidak mengendahkan dan meminta Morgan untuk keluar. 


"Jadi, saya ingatkan anak saya dah pergi dan segalanya sudah berakhir sebab Morgan dan keluar dari premis itu," katanya. 


Kira-kira 15 minit kemudian, Fulmore didatangi oleh Webb yang bertanya di mana Morgan sebelum keluarga mencari anaknya. 


Tidak beberapa lama selepas itu, Fulmore mendakwa dia terdengar bunyi tembakan lalu bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku sebelum ternampak Webb terbaring berlumuran darah di lantai dan dalam masa sama ternampak Morgan melarikan diri dari tempat kejadian. 


Fulmore segera menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan. 




Wanita itu juga mendakwa, Webb telah menukar pakaiannya dan percaya membawa sesuatu yang diletakkan di dalam pakaiannya itu. 


"Dia (Webb) tukar pakaian dan ada sesuatu di sebalik pakaiannya itu, sebab itu dia pakai baju biru yang besar itu. Tiada sebab untuk dia keluar untuk mencari seseorang. Apa yang berlaku di luar, dia yang menjadi puncanya," katanya. 


Tetapi, pihak berkuasa berkata, mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan tiada bukti dia membawa senjata ketika dia ditembak oleh Morgan di bahagian leher.


Ekoran kejadian itu, Morgan ditahan dan teman wanitanya, Camellia Dunlap, 18, turut ditahan kerana dipercayai memberi senjata api itu kepada Morgan. 


Webb dikejarkan ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.


Sumber: Daily Mail, New York Post

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo