Slider

Gagal move on, wanita rempuh pintu rumah bekas teman lelaki & ugut bakar kedai motor



Polis menahan seorang wanita yang disyaki mengugut dan merempuh pintu pagar automatik kediaman keluarga bekas teman lelakinya di Taman Perling di sini, pagi semalam.


Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, wanita berusia 20 tahun itu ditahan di kawasan Plaza Tol Lima Kedai, Gelang Patah di sini, pada 6.30 pagi, susulan aduan dibuat oleh kakak kepada bekas teman lelakinya mengenai kejadian itu kira-kira sejam setengah sebelum itu.


Beliau berkata, seorang ahli keluarga pengadu juga menerima ugutan daripada wanita terbabit yang mahu membakar premis perniagaan dan merosakkan harta benda milik keluarganya.


"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis menuju ke rumah keluarga pengadu dan mendapati sebuah kereta Toyota Corolla Altis yang dipandu wanita tersebut merempuh pintu pagar automatik kediaman berkenaan hingga tercabut sebelum cuba melarikan diri.


"Bagaimanapun, polis mengekori dan berjaya menahan wanita itu. Hasil siasatan mendapati dia merupakan bekas kekasih kepada adik lelaki pengadu sebelum hubungan mereka putus bulan lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Fariz Ammar, wanita itu tidak mempunyai rekod lampau tetapi hasil saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah terlarang jenis benzo.


"Dia didapati turut mengirimkan rakaman video memaparkan seorang individu sedang mencurahkan cecair disyaki minyak petrol di depan premis motosikal milik keluarga itu sebelum pengadu bertindak membuat laporan polis.


"Perbuatan wanita itu turut dirakam menerusi rakaman litar tertutup, yang menunjukkan dia merempuh pintu pagar automatik itu hingga menghempap kereta milik bapa pengadu dan menyebabkan kerosakan serta kerugian dianggarkan RM15,000," katanya.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 427 KK yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika disabit kesalahan," katanya menambah wanita itu direman empat hari bermula semalam.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo