Slider

Gangguan elektrik Rabu, Menteri tak jamin pengguna terjejas akan diberi rebat oleh TNB



Rabu lalu, kira-kira sejuta pengguna di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik bermula jam 12.39 tengah hari.


Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagaimanapun berjaya memulihkan kembali bekalan elektrik selepas 20 minit hingga 2 jam 21 minit secara berperingkat. Dalam tempoh itu, ada beberapa pihak mengatakan mereka mengalami kerugian disebabkan gangguan bekalan elektrik yang tidak dijangkakan itu. 


Menurut TNB, gangguan itu berpunca dari kerosakan peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor. 


30 Julai, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan bahawa TNB akan menyediakan rebat kepada pengguna yang terjejas akibat kejadian itu. 


Katanya, sebanyak satu juta akaun yang terjejas termasuk sama ada dari akaun domestik, industri dan komersial akan diberikan rebat dan maklumat perinci berhubung perkara itu akan dibentangkan di Parlimen pada 4 Ogos ini. 


Bagaimanapun dalam laporan 31 Julai, Takiyuddin tidak dapat memberi jaminan bahawa rebat akan diberikan kepada pengguna terjejas. Keputusan pemberian rebat itu perlu menunggu hasil siasatan bagi menentukan sama ada TNB telah memenuhi syarat-syarat Standard Prestasi Perkhidmatan (GSL) atau tidak. 


GSL merupakan piawaian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga yang memerlukan TNB memastikan bekalan elektrik yang terbaik. Kegagalan untuk mematuhi GSL akan mengakibatkan penalti dalam bentuk rebat kepada pengguna yang terjejas. 


Siasatan yang dilakukan juga akan meneliti punca dan kesan daripada gangguan bekalan itu. 


Sumber: Berita Harian, MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo