Slider

Jalan rosak teruk, bapa terpaksa jalan kaki 1 jam sambil kendong jenazah anak bawa pulang ke rumah

Foto Persatuan Amal & Jariah Sabah



Berat bebanan yang dipikul. Tatkala orang lain sedang menikmati kesenangan, ada yang masih menanggung derita dan kesusahan. 


Seorang bapa sanggup berjalan kaki pulang ke rumahnya di Kampung Samparita Tengah, Kota Marudu, sambil menggendong jenazah bayi perempuannya biarpun perjalanan itu memakan masa lebih kurang satu jam. 


Lapor Sabah Info, lelaki itu terdahulu dibantu oleh pihak Persatuan Amal dan Jariah Sabah yang menawarkan diri untuk menghantarnya pulang dengan jenazah anaknya. 


Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila keadaan jalan yang sangat teruk, tidak mengizinkan mereka meneruskan perjalanan. 


"Kejadian ini baru berlaku beberapa bulan lalu. Bayi perempuan berusia lima bulan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen 2, Kota Kinabalu. 


"Keluarganya merupakan golongan kurang berkemampuan dan Persatuan Amal dan Jariah Sabah tampil membantu dengan menyediakan keranda dan menghantar mereka pulang ke rumah. 




"Setibanya di pertengahan jalan, van jenazah terkandas dan tidak dapat melalui jalan tersebut berikutan keadaannya sangat teruk. Disebabkan itu, waris terpaksa pulang dengan berjalan kaki membawa jenazah anaknya pulang ke rumah dalam perjalanan yang mengambil masa kira-kira satu jam. 


"Pahit untuk ditelan, ini merupakan satu realiti yang berlaku di Daerah Kota Marudu, salah satu daerah termiskin di Malaysia. Takziah untuk kedua ibu bapa dan semoga diberi kekuatan di atas pemergian anak tersayang," katanya. 




Difahamkan, semasa terkandas, mereka cuba membuat panggilan untuk mendapatkan bantuan. Namun, telefon bimbit mereka tidak mempunyai capaian yang stabil dan dalam masa sama mereka sedang berada di tengah-tengah hutan di waktu lewat malam.




Di ruangan komen, netizen khususnya orang Sabah meluahkan rasa simpati dan menyelar pihak kerajaan yang dilihat gagal menyediakan kemudahan asas kepada penduduk. Ini termasuk kegagalan kerajaan negeri menjaga kebajikan rakyatnya sendiri. 


"Selagi Isu ini belum dapat di atasi, lebih baik cabut saja tulisan (slogan) Sabah Maju Jaya. Wakil rakyat yang sedia ada bukan berkhidmat untuk rakyat tetapi lebih kepada kepentingan diri!" kata Miroku Kaito. 


"Terima kasih kepada pihak NGO yang membantu keluarga ini yang sedang menghadapi kesusahan. Shame on Sabah Government!" kata Sharain Liew. 


"Saya tidak sabar menunggu alasan menteri atau mereka yang bertanggungjawab, kenapa selepas berpuluh tahun sudah berlalu tetapi jalan raya di Kota Marudu masih tidak elok," kata Angelo Augustus. 


20 Julai lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah meluluskan usul menaikkan saraan Ketua Menteri, Ahli DUN dan anggota pentadbiran negeri yang lain.


Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, kenaikan itu adalah wajar dan tidak terlalu berat kerana ia hanya melibatkan pertambahan peruntukan sebanyak RM5.6 juta setahun. 


"Pelarasan itu dilihat wajar dan apa yang penting, wakil rakyat perlu terus memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat. 


"Kita mengambil inisiatif ini memandangkan keadaan yang berlaku di persekitaran kita sekarang ini walaupun kita faham mungkin rakyat di luar sana bercakap kenapa dalam keadaan sekarang dan sebagainya. Tetapi asas utama ialah untuk wakil rakyat anggota kerajaan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. 


"Kerajaan perlu ada dasar yang baik untuk memastikan taraf hidup rakyat yang ada sekarang ditingkatkan sekali gus membasmi kemiskinan ini paling penting," katanya.


Sumber: Sabah Info

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo