Slider

Jururawat didakwa bunuh bayi berusia 8 bulan, berdepan hukuman mati

Foto Bernama



Seorang jururawat persendirian didakwa di Mahkamah Majistret di Sungai Siput hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki.


T Rebekal, 30, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Wanita itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian J Melvin Jeshuran berusia lapan bulan di sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Sungai Siput Utara, kira-kira 6 petang, 24 Julai lepas.


T Rebekal dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R S Vitthiyeswary manakala tertuduh diwakili peguam K Nahtan.


Mahkamah menetapkan 3 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan forensik dan bedah siasat.


Pada 26 Julai lepas seorang wanita dan teman lelakinya direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian bayi lelaki yang disyaki didera.


Bayi dengan kesan luka baharu dan lama pada tubuhnya itu dikatakan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sungai Siput.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo