Slider

Lelaki tempatan sorok 3 wanita Myanmar dalam but kereta untuk diseludup dari Kelantan ke Klang

Foto ihsan PDRM | Harian Metro



Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang didapati cuba menyeludup enam pendatang asing tanpa izin (PATI) Myanmar dari Kota Bharu, Kelantan ke Klang, semalam. 


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek yang memandu kereta Nissan Teana itu ditahan pada jam 1 tengah hari di Persiaran Tun Teja, Alam Impian. 


Siasatan awal mendapati, lelaki itu membawa enam pati di mana tiga lelaki duduk di bahagian penumpang belakang dan tiga lagi wanita bersembunyi di dalam bonet. Kesemua pati terbabit berusia 18 hingga 36 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. 


Pemandu itu mengakui, dia menerima upah RM300 bagi setiap seorang Pati yang dibawanya dari individu yang dikenali sebagai Pok Sey. 


Pemeriksaan lanjut kemudian menemui peralatan menghisap dadah dan satu plastik yang mengandungi 50 biji pil berwarna merah dipercayai pil kuda. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom 2007); Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


Pemandu terbabit direman selama 28 hari mengikut Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, manakala enam warga Myanmar selama 14 hari.


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo