Slider

Mangsa kedua dakwa pernah dicabul guru pedofilia, namun suspek nafi & ugut saman keluarga pelajar

Foto suspek yang tular di media sosial



Susulan tular laporan yang mendakwa seorang guru lelaki berasal dari Tumpat, Kelantan, dipercayai merogol seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di Bintulu, seorang lagi pelajar yang pernah menjadi mangsanya tampil membuat laporan polis. 


Pengerusi Biro Pergerakan Pembangunan Wanita Kayan Tubau/Jelalong, Victoria Mujan A/K Nyeigok, mengesahkan mangsa yang juga anak Orang Ulu telah membuat laporan polis. 


Menurut laporan itu, mangsa berusia 14 tahun itu mendakwa dia telah dicabul oleh suspek di bilik yang sama di mana mangsa pertama diserang secara seksual. 


"Kedua-dua mangsa merupakan anak Orang Ulu dan berumur 14 tahun. Hasil perjumpaan dengan keluarga mangsa, saya diberitahu suspek turut merogol dan mencabul beberapa pelajar sekolah lain. 


"Saya sendiri telah bertemu dengan kedua-dua keluarga mangsa setelah mengetahui insiden tersebut. Kedua-dua pelajar terbabit masih trauma dengan tragedi hitam itu. Malah, ibu bapa mereka juga berharap keadilan berpihak kepada anak mereka," katanya memetik laporan dari portal Majoriti. 


Jelas Victoria lagi, suspek sebelum ini pernah mengugut untuk memfailkan saman malu terhadap keluarga mangsa kedua, kononnya dia telah difitnah. Suspek menafikan dakwaan itu dan terus hilang tanpa dikesan sejak 19 Julai. 


Semalam, Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Bartholomew Umpit, mengeluarkan gambar suspek, Tengku Nasrul Haizal Mohd Nasir, 33, dan meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai penjawat awam terbabit tampil membantu siasatan. 


Sumber: Majoriti

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo