Slider

Mayat pemandu Grab ditemui dalam keadaan kaki berikat, muka & tangan cedera di dalam but keretanya



Mayat seorang pemandu Grab ditemui dalam keadaan cedera di bahagian muka dan telinga, serta kakinya diikat dengan kain di dalam but keretanya di Jalan Tugu, hari ini, lapor Harian Metro. 


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi terdahulu mengesan sebuah kereta Perodua Bezza di bulatan Hishammuddin, berdekatan Bank Negara yang dipandu dalam keadaan mencurigkan pada jam 6.30 pagi. 


MPV kemudian mengejar kereta itu sebelum pemandunya memberhentikan kereta di tepi jalan di lokasi tersebut dan empat suspek termasuk seorang wanita bertindak melarikan diri ke arah landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Jalan Tugu. 


Pemeriksaan pada kereta itu kemudian menemui mayat mangsa dalam keadaan kaki terikat dan muka serta telinganya berdarah. 


Siasatan mendapati, kereta itu digunakan untuk menjalankan khidmat e-hailing Grab Car yang didaftarkan ke atas nama seorang lelaki berasal dari Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor. 


Mayat mangsa yang ditemui dalam but kereta itu adalah seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an. 


Susulan penemuan mayat itu, polis telah menahan tujuh individu warga Indonesia di mana empat daripadanya disyaki terbabit dalam kes pembunuhan itu. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo