Slider

Mayat remaja perempuan ditemui dipercayai dibunuh, 3 Orang Asli ditahan



Susulan penemuan mayat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Bukit Ibam, Rompin, Pahang pada Ahad, polis Kuantan menahan tiga lelaki Orang Asli pada Isnin.


Ketiga-tiga lelaki Orang Asli itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Mangsa yang juga merupakan Orang Asli dipercayai dibunuh dan remaja itu ditemukan di lereng bukit berhampiran rumahnya di Bukit Ibam.


Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, polis memperoleh perintah reman daripada Mahkamah Majistret Rompin untuk menahan ketiga-tiga suspek berusia 22, 29 dan 38 tahun, sehingga 29 Ogos ini.


"Semua suspek dipercayai merupakan kenalan mangsa dan berasal dari kawasan penempatan yang sama," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, Pahang, pada Selasa.


Beliau juga mengesahkan semua suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd Azahari Mukhtar berkata, mangsa yang difahamkan tidak bersekolah ditemukan oleh sepupunya dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala sebelum laporan polis dibuat pada 2.45 pada Ahad.


"Mangsa difahamkan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada malam sebelumnya, menyebabkan bapa mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum mayatnya ditemukan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Mayat mangsa yang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan akan dibedah siasat pada Selasa, bagi mengetahui punca kematian.


Mohd Azahari meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi polis di 09-4145999 atau Pegawai Penyiasat Asistan Superintenden Abdul Khaliq Mustopa di 019-9999769.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo