Slider

NGO gesa pihak berkuasa haramkan rumput tiruan, ia boleh memudaratkan manusia & alam sekitar



Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengharamkan rumput tiruan kerana ia memudaratkan kesihatan dan memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.


Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, kurangnya kesedaran mengenai kesan buruk rumput tiruan itu menyebabkan ramai yang memasangnya di kawasan kediaman, bangunan dan kawasan rekreasi. 


Lebih teruk lagi, penggunaan rumput tiruan itu juga boleh menyumbang kepada masalah banjir kerana rumput itu tidak menyerap air.


Selain itu, hidupan mikro-organisma di dalam tanah di bawah rumput juga akan menerima kesannya, termasuk tumbuhan di sekelilingnya sekali gus menghalang kepelbagaian biologi. 


"Rumput  tiruan dihasilkan dengan mengikat beberapa jenis plastik bersama-sama dan kerana itu, ia amat sukar untuk dikitar semula selain penggunaan plastik yang tidak perlu juga tidak terbiodegrrasi. Ia menambah beban kepada sektor sisa. 


"Apabila terurai, ia membebaskan zarah plastik ke alam sekitar seterusnya menjadikannya toksik kepada manusia selain hidupan liar," katanya. 


Mengambil contoh lain seperti di Australia, Majlis Bandaraya Adelaide (ACC) melarang penggunaan rumput tiruan di bahu jalan kerana bimban dengan pemanasan bandar dan tapak pelupusan. 


"Ia berikutan suhu rumput tiruan lebih tinggai daripada permukaan lain termasuk asfalt serta jauh lebih tinggi daripada rumput semula jadi. 


"Selain menjadi sumber berpotensi toksin penyebab barah, rumput tiruan dihasilkan menggunakan polietilena dalam bentuk pepejal dicairkan, dicampur dengan warna dan bahan kimia lain bagi menjadikannya lebih tahan lama, tahan sinaran UV dan sebagainya," katanya. 


Berbanding dengan penggunaan rumput asli yang boleh membantu menguruskan pencemaran, memerangkap gas berbahaya yang dihasilkan oleh pencemaran serta meredakan banjir. Selain menyerap bunyi, ia menyerap hujan dan tanahnya bertindak sebagai 'span' dengan memperlahankan aliran air ke dalam longkang semasa hujan lebat. 


"Rumput sebenar mengatasi perubahan iklim kerana menyerap lembapan, karbon dioksida, menghasilkan oksigen, menyejukkan udara, menjadi rumah bagi serangga, memberi makan kepada burung dan berdikari.


"Persekitaran kita semakin ditampal dengan konkrit, asfalt, batu bata dan mortar. Ia memberikan kita ruang hijau yang semakin mengecil bagi hidup sihat. Justeru, janganlah gantikan rumput hidup dengan plastik toksik," katanya.


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo