Slider

Peguam Diraja UK cabar keputusan Mahkamah Tinggi, gigih nak mewakili Najib



Peguam Diraja dari United Kingdom Jonathan James Laidlaw telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk mewakili Najib Razak dalam rayuan terakhirnya membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.


Notis rayuan itu difailkan di Mahkamah Persekutuan pada 22 Ogos lepas menerusi Tetuan Shafee & Co yang mewakili Laidlaw selaku perayu.


Menerusi notis itu, Laidlaw merayu terhadap keseluruhan keputusan hakim Ahmad Kamal Md Shahid pada 21 Julai lepas yang menolak permohonannya tanpa kos.


Rayuan itu dibuat selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 19 Akta Profesion Undang-Undang 1976.


Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.


Pada 21 Julai lepas, Ahmad Kamal menolak permohonan itu atas alasan Laidlaw gagal membuktikan dia memiliki kelayakan khas dan pengalaman untuk mengendali rayuan atau pertuduhan terhadap Najib yang membabitkan Seksyen 23 Akta SPRM 2009, Seksyen 409 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.


Najib memfailkan permohonan itu pada 31 Mei lepas bagi membolehkan Laidlaw mewakilinya dalam rayuan kes SRC atas beberapa alasan antaranya dia memiliki kelayakan, pengalaman dan kepakaran khas yang tidak terdapat dalam kalangan peguam di Malaysia.


Melalui notis usul itu, Laidlaw memohon supaya diterima masuk dan didaftarkan bagi menjalankan amalan di Mahkamah Tinggi di Semenanjung Malaysia untuk bertindak sebagai peguam utama Najib dalam rayuan kes SRC di Mahkamah Persekutuan serta semua sebab atau perkara lain yang berkaitan dengannya.


Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atas bekas perdana menteri itu bagi kesalahan menyeleweng dana SRC International.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo